Lawatan Ke Jepun Perkukuh Pelaburan, AI Dan Perdagangan Dua Hala - PM Anwar
Daripada Mohd Iswandi Kasan Anuar
TOKYO, 10 Jun (Bernama) -- Lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Jepun menumpukan kepada usaha memperkukuh hubungan ekonomi dua hala, khususnya dalam menarik pelaburan dan perdagangan serta sektor berteknologi tinggi yang memberi impak langsung kepada ekonomi rakyat.
Beliau berkata Malaysia mengangkat beberapa perkara yang menjadi keutamaan dalam pertemuan dengan rakan sejawatnya Sanae Takaichi, termasuk pelaburan bernilai tinggi, teknologi baharu dan kerjasama dalam bidang kecerdasan buatan (AI).
“Selain acara sambutan rasmi, yang penting ialah usaha memastikan beberapa kepentingan negara terus diperkukuh dari segi pelaburan, teknologi tinggi, termasuk dalam isu AI.
“Kita memberi keutamaan kepada perkara ini kerana kita perlu kerjasama dan dukungan bukan sahaja kerajaan Jepun, malah syarikat utama Jepun,” kata beliau pada sidang media penutup bersempena dengan lawatan rasmi selama tiga hari ke Jepun bermula Isnin, hari ini.
Anwar turut memaklumkan perkembangan positif dalam kerjasama tenaga antara PETRONAS dan rakan Jepun, Jera Co Inc melibatkan pembekalan gas asli cecair (LNG), yang dimeterai melalui perjanjian jangka panjang dan dijangka memberi manfaat kepada kedua-dua negara.
Menurut beliau, kerjasama itu dilihat mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai pemain industri dalam sektor gas asli, di samping memenuhi keperluan tenaga Jepun dalam tempoh jangka panjang.
Mengenai perdagangan dan pelaburan, beliau berkata nilai perdagangan meningkat apabila pelaburan Jepun di Malaysia berjumlah RM107.9 bilion melalui lebih 2,800 projek pembuatan dan mewujudkan lebih 347,000 peluang pekerjaan berdasarkan data Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri pada tahun lepas.
Lawatan itu dimanfaatkan dengan mengadakan pertemuan dengan syarikat-syarikat utama Jepun, termasuk Mitsubishi Corporation, ENEOS Corporation, DENSO Corporation dan Marubeni Corporation untuk meneroka peluang bagi memperluas kerjasama dan pelaburan di Malaysia.
Dalam pertemuan dengan wakil IBM, Anwar berkata Malaysia memberi perhatian kepada pembangunan teknologi kuantum menerusi kerjasama dengan IBM, antara syarikat peneraju dunia dalam bidang pengkomputeran kuantum.
Beliau berkata keputusan IBM untuk memperluas inisiatif berkaitan teknologi berkenaan meletakkan Malaysia sebaris dengan beberapa hab teknologi utama dunia seperti Amerika Syarikat, Jepun, India, Singapura dan Taiwan.
“Kita sedang berbincang dan akan bawa ke peringkat Jemaah Menteri mengenai keperluan mengadakan Majlis Kuantum Negara setelah diteliti oleh kementerian masing-masing,” kata beliau.
Pada masa yang sama, Anwar turut memanfaatkan hubungan rapat Tan Sri Mohd Hassan Marican dengan beberapa syarikat dalam sektor minyak dan gas di Jepun bagi mengukuhkan lagi kerjasama strategik antara kedua-dua negara.
Penyertaan dalam Forum Nikkei yang disifatkan beliau sebagai antara forum utama Jepun telah mengukuhkan hubungan dengan pemimpin politik, perniagaan, media dan penggubal dasar.
Undangan daripada Presiden Universiti Tokyo untuk menyampaikan syarahan khas dimanfaatkan untuk mengadakan sesi dialog dengan warga universiti mengenai teknologi baharu, khususnya AI dan implikasinya terhadap kemanusiaan.
Anwar berkata Universiti Tokyo telah lama menjalin hubungan akademik dengan Universiti Malaya dan menggesa kerjasama itu diperluaskan kepada bidang baharu.
“Saya minta (kerjasama) ditingkatkan dalam beberapa disiplin baharu dan ada lagi kerjasama dalam bidang AI dengan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia,” kata beliau.
Perdana Menteri dan delegasi berlepas pulang ke Malaysia petang ini selepas mengadakan lawatan rasmi pertama beliau ke negara matahari terbit itu.
-- BERNAMA