BERITA TERKINI   politik stabil, hubungan baik dengan negara luar bantu Malaysia perkukuh bekalan minyak dan gas - PM Anwar | Sabah Southern MADANI Link pastikan pembangunan dan kemudahan sampai ke pedalaman Sabah - PM Anwar | Majlis Media Malaysia disaran adakan pertemuan dengan platform media sosial dalam usaha bendung berita palsu - Fahmi | PRN: Jentera PH perlu kekuatan sendiri tanpa bergantung kelemahan musuh atau pihak lain - Fahmi | Kejayaan inovasi diukur berdasarkan keupayaan melindungi agama, kehidupan, daya fikir, keturunan dan harta - Ahmad Zahid | 

Kenanga IB Naikkan Unjuran Harga MSM 2026 Sebanyak Empat Peratus Kepada RM4,400 Setan

KUALA LUMPUR, 12 Jun (Bernama) -- Kenanga Investment Bank Bhd (Kenanga IB) menaikkan unjuran harga minyak sawit mentah (MSM) bagi tahun penuh 2026 sebanyak empat peratus kepada RM4,400 setan daripada RM4,250 setan sebelum ini dengan mengambil kira fenomena El Niño.

Dalam nota penyelidikannya hari ini, bank pelaburan itu menyatakan ia turut menyemak naik unjuran harga MSM bagi tahun penuh 2027 sebanyak enam peratus kepada RM4,450 setan daripada RM4,200 setan.

Menurutnya, berdasarkan rekod sejarah El Niño cenderung melonjakkan harga MSM, dengan harga biasanya meningkat sama ada pada separuh kedua tahun bermulanya El Niño atau lebih kerap lagi pada separuh pertama tahun berikutnya.

"Perubahan harga adalah sangat berbeza-beza, daripada penurunan awal suku tahun ke suku tahun (q-o-q) sehinggalah kepada lonjakan sebanyak 10 hingga 40 peratus pada (q-o-q) dalam suku tahun berikutnya.

"Secara keseluruhan, kami percaya kenaikan sebanyak lima hingga 10 peratus adalah munasabah buat masa ini, mengambil kira harga MSM dan isirung sawit yang sememangnya telah meningkat tinggi sejak konflik di Asia Barat," tambah bank pelaburan itu.

Kenanga IB memaklumkan walaupun kesan fenomena itu sebahagiannya telah diambil kira dalam penentuan harga semasa, semakan naik yang seterusnya tidak boleh diketepikan sekiranya berlaku senario El Niño yang sangat kuat, termasuk gandaan ke atas penilaian harga kepada nilai buku, yang kekal tidak berubah buat masa ini.

Bank pelaburan itu menyatakan dengan mengambil maklum bahawa fenomena El Niño yang teruk boleh menjejaskan pengeluaran minyak sawit, bergantung kepada sejauh mana sisihan suhu permukaan laut daripada paras normal.

"Pengeluaran minyak sawit tidak akan terjejas melainkan berlakunya fenomena El Niño yang sangat kuat, di mana keadaan kering yang berpanjangan (enam bulan atau lebih) boleh mengganggu kitaran pendebungaan dan pembuahan.

"Memandangkan El Niño biasanya bermula pada separuh kedua, hasil tanaman pada tahun berikutnya akan lebih terjejas di bawah senario El Niño yang sangat kuat. Oleh itu, berdasarkan pemerhatian sejarah, bekalan minyak sawit global boleh berubah daripada pertumbuhan tahun ke tahun kepada penguncupan antara dua peratus hingga sembilan peratus," tambahnya lagi.

-- BERNAMA