Danantara Raih US$1.5 Bilion Melalui terbitan Bon Global Pertama
JAKARTA, 12 Jun (Bernama) -- Dana kekayaan negara Indonesia, Danantara Indonesia mengumpul dana sebanyak US$1.5 bilion (US$1 = RM4.05) melalui penawaran bon antarabangsa pertamanya, menarik permintaan kira-kira US$4.6 bilion, lebih tiga kali ganda daripada jumlah terbitan.
Menurut Danantara Indonesia, tawaran bon itu yang diterbitkan menerusi Danantara Investment Management (DIM) berjaya dilaksanakan dalam keadaan ekonomi global yang mencabar, ketidaktentuan geopolitik yang meningkat dan hasil bon Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) yang berada pada paras tinggi.
“Minat yang tinggi daripada pelabur global dapat dilihat menerusi tempahan maksimum bernilai kira-kira US$4.6 bilion atau lebih tiga kali ganda daripada jumlah keseluruhan terbitan,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
DIM menerbitkan bon bernilai US$750 juta bagi tempoh lima tahun dengan kadar hasil sebanyak 5.35 peratus dan bon bernilai US$750 juta bagi tempoh 10 tahun dengan kadar hasil sebanyak 5.95 peratus.
Pelabur dari Eropah, Asia Barat dan Afrika menyumbang sebanyak 41 peratus daripada yang diagihkan dalam tranche lima tahun, diikuti AS pada 38 peratus dan Asia pada 21 peratus.
Bagi tranche 10 tahun, pelabur AS mewakili 52 peratus daripada agihan itu, mengatasi Eropah, Asia Barat dan Afrika pada 31 peratus dan Asia pada 17 peratus.
Menurut Danantara tranche lima tahun menerima permintaan melebihi US$1.45 bilion daripada 68 akaun manakala tranche 10 tahun menerima permintaan lebih US$1.35 bilion daripada 63 akaun.
Agensi itu memaklumkan keputusan penetapan harga bon itu mencerminkan keyakinan pelabur terhadap profil kredit, rangka kerja tadbir urus dan kedudukan institusi DIM, walaupun ia adalah terbitan sulung syarikat itu di pasaran antarabangsa.
-- BERNAMA