BERITA TERKINI   PM Anwar tiba di Ashgabat pada 8 malam (11 malam waktu Malaysia) untuk lawatan rasmi dua hari ke Turkmenistan | Kerajaan Persekutuan luluskan penubuhan Majlis Tahfiz Negara - TPM Ahmad Zahid | PRN Johor: Chu Poh Yee calon DAP bagi kerusi DUN Mengkibol menggantikan penyandang Chew Chong Sin - Loke | Bekalan minyak: draf perjanjian dan prinsip kerjasama telah dipersetujui, hanya menunggu proses pemuktamadan & pemeteraian selepas lawatan teknikal terperinci - PM Anwar | Rusia beri jaminan bekalan minyak dan gas kepada Malaysia untuk jangka masa panjang - PM Anwar | 

Pasaran Getah Kukuh Didorong Kenaikan Niaga Hadapan Serantau

Oleh Engku Shariful Azni Engku Ab Latif

KUALA LUMPUR, 15 Jun (Bernama) -- Pasaran getah Kuala Lumpur ditutup lebih tinggi pada Isnin, didorong oleh kenaikan pasaran niaga hadapan getah serantau berikutan kebimbangan terhadap bekalan getah asli yang ketat, kata seorang peniaga.

Beliau berkata sentimen pasaran global turut disokong oleh meredanya ketegangan geopolitik susulan laporan bahawa Amerika Syarikat (AS) dan Iran dijangka menandatangani perjanjian damai di Switzerland pada 19 Jun ini.

“Bagaimanapun, kenaikan seterusnya dihadkan oleh penurunan harga minyak mentah serta pengukuhan ringgit berbanding dolar AS, apabila pelabur kekal berhati-hati menjelang mesyuarat dasar Rizab Persekutuan AS minggu ini,” katanya kepada Bernama.

Setakat ini, harga minyak mentah Brent susut 4.40 peratus kepada US$83.15 setong.

Beliau turut berkata niaga hadapan getah Jepun meningkat pada Isnin, disokong oleh bekalan getah asli yang ketat serta jangkaan pemulihan permintaan dari Asia Barat susulan perkembangan rundingan damai antara AS dan Iran.

“Pasaran turut memberi tumpuan kepada kekangan bekalan getah asli serta potensi peningkatan permintaan dari rantau Asia Barat,” katanya.

Pada 3 petang, harga Standard Malaysian Rubber (SMR) 20 meningkat lapan sen kepada 936.50 sen sekilogram, manakala susu getah pukal naik lima sen kepada 786 sen sekilogram.

-- BERNAMA