Poh Kong Catat Keuntungan Bersih RM70.01 Juta Bagi Suku Ketiga
KUALA LUMPUR, 15 Jun (Bernama) -- Poh Kong Holdings Bhd mencatatkan keuntungan bersih lebih tinggi sebanyak RM70.01 juta bagi suku ketiga berakhir 30 April, 2026, meningkat daripada RM47.60 juta bagi tempoh yang sama tahun lalu.
Hasil turut meningkat kepada RM585.57 juta berbanding RM533.93 juta sebelum ini.
Dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia hari ini, peruncit barangan kemas itu memaklumkan hasil tempoh berkenaan meningkat RM51.65 juta berbanding tahun sebelumnya.
“Kenaikan hasil ini didorong terutamanya oleh lonjakan harga emas sepanjang tempoh kajian,” katanya.
Poh Kong turut memaklumkan pendapatan sesaham meningkat kepada 17.06 sen daripada 11.60 sen sebelum ini.
Mengenai prospek, syarikat itu memaklumkan industri barang kemas emas di Malaysia menunjukkan pertumbuhan kukuh dan ketahanan pada 2025, disokong oleh permintaan domestik dan antarabangsa.
“Walaupun berdepan faktor seperti inflasi dan turun naik mata wang, kami percaya pembelian oleh bank pusat, perbelanjaan pengguna serta aliran masuk aset selamat susulan ketidaktentuan geopolitik global akan terus menyokong permintaan terhadap barang kemas dan produk pelaburan emas.
“Kumpulan akan terus memantau kesan ketidaktentuan semasa terhadap operasi, menunaikan tanggungjawab kewangan serta menilai prestasi secara berterusan,” menurutnya.
Tiada dividen diumumkan bagi suku berkenaan.
-- BERNAMA