BERITA TERKINI   LAE buka peluang tarik pelaburan bernilai tinggi, tingkatkan daya saing negara - Loke | Garis panduan Ekonomi Altitud Rendah (LAE) dijangka diumum hujung tahun ini, perkasa kawal selia dan operasi ekosistem LAE - Loke | Lim Guan Eng, isterinya dan ahli perniagaan Phang Li Koon gagal dalam permohonan batalkan pertuduhan rasuah, ubah wang haram berkaitan projek asrama pekerja asing bernilai RM11.6 juta | Aliran keluar bukan pemastautin dalam pasaran pertukaran asing mencerminkan penyusunan semula portfolio susulan prestasi kukuh ringgit pada awal tahun ini - BNM | Ringgit susut berbanding dolar AS pada Jun berikutan jangkaan kadar faedah AS lebih tinggi dan pengimbangan semula ekuiti berkaitan MSCI - BNM | 

Niaga Hadapan Emas Ditutup Tinggi Susulan Penyusutan Harga Minyak

Oleh K. Naveen Prabu

KUALA LUMPUR, 15 Jun (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives meningkat pada akhir dagangan Isnin, didorong oleh harga minyak yang lebih rendah, kata penganalisis.

Rakan Pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata sentimen itu turut disokong oleh penyusutan hasil Perbendaharaan Amerika Syarikat serta kelemahan nilai mata wang negara maju itu yang hanya melonjakkan lagi daya tarikan emas.

Beliau berkata pada awalnya peningkatan emas dianggap bercanggah dengan jangkaan berikutan sebarang prospek perjanjian damai di Asia Barat lazimnya mengurangkan daya tarikan logam berharga itu sebagai aset selamat.

Namun, pasaran sebaliknya lebih dipengaruhi oleh kesan penurunan harga minyak terhadap jangkaan inflasi, hasil bon serta dolar AS.

“Prospek perjanjian damai Asia Barat sepatutnya mengurangkan risiko geopolitik. Namun, kesan (pengaruh) lebih kuat itu adalah daripada faktor minyak, hasil bon dan dolar,” katanya kepada Bernama.

Pada akhir urus niaga, kontrak bulan semasa Jun 2026 naik ke paras US$4,348.40 setiap auns troy daripada US$4,232.70 Jumaat lepas manakala Julai 2026 menokok kepada US$4,360.40 setiap auns troy daripada US$4,249.30 dan Ogos 2026 meningkat kepada US$4,381.60 setiap auns troy daripada US$4,265.70.

Kontrak September 2026 mencatat US$4,386.10 setiap auns troy manakala Oktober 2026 dan Disember 2026 masing-masing pada US$4,405.20 setiap auns troy.

Jumlah dagangan berkurangan kepada 17 lot daripada 22 lot pada Jumaat lepas dan kepentingan terbuka menguncup kepada 84 kontrak daripada 89 kontrak sebelumnya.

Selain itu, emas fizikal berada pada US$4,185.95 setiap auns troy sewaktu penetapan oleh London Bullion Market Association (LBMA) pada 12 Jun, 2026.

-- BERNAMA