BERITA TERKINI   PM Anwar tiba di Ashgabat pada 8 malam (11 malam waktu Malaysia) untuk lawatan rasmi dua hari ke Turkmenistan | Kerajaan Persekutuan luluskan penubuhan Majlis Tahfiz Negara - TPM Ahmad Zahid | PRN Johor: Chu Poh Yee calon DAP bagi kerusi DUN Mengkibol menggantikan penyandang Chew Chong Sin - Loke | 

IRDA, Kerajaan Bandar Taoyuan Taiwan Jalin Pakatan Memajukan Kolaborasi Industri

ISKANDAR PUTERI, June 16 (Bernama) -- Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) memeterai kerjasama strategik dengan Kerajaan Bandar Taoyuan di Taiwan untuk bersama-sama memajukan kolaborasi industri, memperkukuh pembangunan bakat dan meningkatkan daya saing ekonomi.

IRDA dalam satu kenyataan menyatakan kerjasama itu merupakan satu pencapaian penting dalam memperkukuh hubungan ekonomi dan institusi antara Iskandar Malaysia dan Bandar Taoyuan, sekali gus menyatukan dua wilayah yang diiktiraf sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi, pembangunan industri dan inovasi di negara masing-masing.

Bandar Taoyuan diiktiraf secara meluas sebagai hab industri dan teknologi terkemuka di Taiwan, dengan ekosistem yang kukuh dalam pembuatan termaju, logistik, elektronik dan industri yang dipacu oleh inovasi, menurut kenyataan itu.

“Bandar berkenaan memainkan peranan penting dalam menyokong daya saing global Taiwan, terutamanya dalam sektor teknologi tinggi dan industri berorientasikan eksport,” tambahnya.

IRDA memaklumkan kedua-dua pihak juga akan meneroka kerjasama dalam industri baharu muncul dan bernilai tinggi, termasuk pembuatan termaju, teknologi digital, kecerdasan buatan, industri pintar dan sektor ekonomi yang berfokuskan masa hadapan.

Menurutnya, perkongsian itu juga turut menyediakan platform untuk kerjasama yang lebih mendalam bagi memudahkan pelaburan, pembangunan industri, pertukaran teknologi dan pembangunan bakat.

“Ia mencerminkan komitmen bersama untuk memupuk inovasi, memperkukuh ekosistem industri dan meningkatkan daya tahan ekonomi jangka panjang,” tambahnya.

Memorandum persefahaman itu ditandatangani oleh Pegawai Kewangan Negeri Johor dan Ketua Eksekutif IRDA Datuk Mohd Noorazam Osman dan Datuk Bandar Kerajaan Bandar Taoyuan Chang San-Cheng di sini, hari ini.

Sementara itu, Mohd Noorazam berkata kekuatan Taoyuan dalam pembuatan termaju, inovasi dan pembangunan industri akan menjadi pelengkap terhadap peluang yang semakin berkembang di Iskandar Malaysia dan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).

“Kami berhasrat untuk memudahkan hubungan yang bermakna antara perniagaan, institusi dan bakat dari kedua-dua wilayah, sekali gus mewujudkan peluang baharu untuk pelaburan, pertukaran pengetahuan dan pembangunan tenaga kerja.

“Selain itu, perkongsian ini mencerminkan aspirasi bersama kami untuk membina ekosistem industri yang bertaraf global, berinovasi dan berdaya tahan yang akan menghasilkan nilai jangka panjang bagi komuniti dan ekonomi kita,” tambah beliau.

IRDA menyatakan Johor terus memperkukuh kedudukannya sebagai salah satu wilayah ekonomi paling dinamik di Malaysia, disokong oleh prestasi pelaburan yang kukuh, asas industri yang semakin berkembang dan inisiatif strategik seperti JS-SEZ.

Sebagai enjin ekonomi di selatan Semenanjung Malaysia, Iskandar Malaysia kekal menjadi destinasi utama untuk pelaburan, bakat dan pengembangan perniagaan, tambahnya.

-- BERNAMA