Pemegang Saham Allianz Malaysia Lulus Semua Usul Pada AGM Ke-52

KUALA LUMPUR, 16 Jun (Bernama) -- Pemegang saham Allianz Malaysia Bhd meluluskan semua usul yang dibentangkan pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-52 kumpulan itu, bersempena ulang tahun ke-25 penubuhannya tahun ini.

Dalam satu kenyataan hari ini, syarikat pegangan pelaburan itu memaklumkan AGM berkenaan mencerminkan komitmen berterusan kumpulan dalam membina kepercayaan dan melindungi kehidupan, selari dengan legasi yang telah membimbing Allianz Malaysia sepanjang 25 tahun penubuhannya.

Pengerusi Allianz Malaysia Zakri Mohd Khir berkata perjalanan 25 tahun kumpulan itu mencerminkan kepercayaan yang diberikan oleh pelanggan, pemegang saham serta rakan niaga.

“Kepercayaan inilah yang mendorong kami untuk terus memberikan nilai mampan serta penyelesaian berfokuskan pelanggan,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Sean Wang berkata pencapaian tersebut melambangkan komitmen baharu kumpulan untuk terus melindungi kepentingan pelanggan dan pihak berkepentingan.

“Melangkah ke hadapan, kami beriltizam untuk membina legasi ini dengan berdiri teguh di sisi pelanggan, bukan sahaja melalui perlindungan insurans, tetapi juga membantu mereka mencegah risiko, kekal selamat dalam kehidupan seharian serta berasa yakin ketika ia paling diperlukan oleh semua rakyat Malaysia,” katanya.

Bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2025, jumlah volum perniagaan Allianz Malaysia meningkat kepada RM6.24 bilion daripada RM5.65 bilion pada tahun sebelumnya, manakala keuntungan operasi bertambah kepada RM1.17 bilion berbanding RM1.01 bilion.

Premium bertulis kasar (GWP) turut meningkat kepada RM7.69 bilion daripada RM7.24 bilion pada 2024.

Kumpulan itu membayar jumlah dividen tahunan sebanyak 89.5 sen sesaham biasa pada 13 Feb, 2026, selain dividen interim satu peringkat sebanyak 35.5 sen sesaham biasa bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2026 yang dibayar pada 10 Jun, 2026.

Selain itu, Allianz Malaysia melancarkan kempen ulang tahun ke-25 tahun ini dengan menawarkan pelbagai ganjaran kepada pelanggan, termasuk sebuah Proton e.MAS 5, pakej percutian ke Iceland serta pengalaman eksklusif melibatkan sajian dan gaya hidup.

-- BERNAMA