BERITA TERKINI   PM Anwar tiba di Ashgabat pada 8 malam (11 malam waktu Malaysia) untuk lawatan rasmi dua hari ke Turkmenistan | Kerajaan Persekutuan luluskan penubuhan Majlis Tahfiz Negara - TPM Ahmad Zahid | PRN Johor: Chu Poh Yee calon DAP bagi kerusi DUN Mengkibol menggantikan penyandang Chew Chong Sin - Loke | Bekalan minyak: draf perjanjian dan prinsip kerjasama telah dipersetujui, hanya menunggu proses pemuktamadan & pemeteraian selepas lawatan teknikal terperinci - PM Anwar | Rusia beri jaminan bekalan minyak dan gas kepada Malaysia untuk jangka masa panjang - PM Anwar | 

Cuaca Ekstrem, Bencana Alam Jadi Risiko Utama Sektor Pembinaan Dalam Lima Tahun Akan Datang

KUALA LUMPUR, 18 Jun (Bernama) -- Zurich Insurance Group mengenal pasti cuaca ekstrem dan bencana alam sebagai risiko paling serius yang dihadapi oleh sektor pembinaan dalam tempoh lima tahun akan datang dengan memberikan skor 6.2 daripada tujuh.

Dalam laporannya yang bertajuk 'Melangkaui 2030: Masa Depan Sektor Pembinaan', Zurich menyatakan kerentanan pasaran kewangan dan dinamik pasaran buruh masing-masing menduduki tempat kedua dan ketiga sebagai risiko terbesar, dengan skor 5.7 dan 5.6.

Syarikat insurans itu memaklumkan keadaan iklim yang ekstrem, kekurangan tenaga kerja, peningkatan intensiti modal dan ancaman siber yang semakin meningkat bukan lagi tekanan yang berasingan, sebaliknya merupakan risiko yang saling berkait yang dihadapi di seluruh industri pembinaan global.

Ketua Pegawai Pengunderaitan Zurich Malaysia Anthony Seeto berkata sektor pembinaan di Malaysia juga turut terdedah kepada ancaman yang sama, di mana gangguan berkaitan iklim, pasaran buruh yang semakin terhad dan peningkatan mendadak dalam insiden siber kini sedang membentuk semula risiko projek di peringkat tempatan.

“Bagi pemilik projek dan kontraktor, pemahaman awal tentang pendedahan risiko, syarat perlindungan insurans dan kawalan risiko boleh memberikan perbezaan yang ketara terhadap daya tahan projek.

“Syarikat insurans dan pengendali takaful memainkan peranan penting dalam membantu perniagaan mengenal pasti risiko sebelum ia berlaku, bagi memastikan elemen daya tahan diterapkan ke dalam setiap keputusan sejak dari awal lagi,” katanya dalam satu kenyataan.

Zurich menyatakan kekangan tenaga kerja menunjukkan betapa besarnya skala cabaran itu, dengan memberi contoh sektor pembinaan di AS sahaja dianggarkan memerlukan tambahan 349,000 pekerja pada tahun ini untuk memenuhi permintaan projek.

Di Asia Tenggara pula, rantau itu menghadapi kekurangan sekitar 1.5 juta pekerja mahir, manakala Australia dijangka menyaksikan kekurangan melebihi 300,000 pekerja menjelang 2027.

Kumpulan itu turut memberi amaran peningkatan risiko digital, dengan hampir empat daripada lima firma seni bina, kejuruteraan dan pembinaan pernah mengalami ancaman keselamatan siber dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini.

Menurutnya, firma-firma itu kini berhadapan dengan purata 226 insiden keselamatan siber setahun bagi setiap syarikat, iaitu peningkatan sebanyak 41 peratus berbanding tahun sebelumnya.

“Hanya satu peratus daripada kerugian siber global diinsuranskan, menyebabkan sebahagian besar impak kewangan terpaksa ditanggung oleh kontraktor dan pemilik projek,” tambahnya.

Zurich menyatakan  projek bermodal besar biasanya melebihi bajet sekitar 80 peratus dan lebih daripada 50 peratus lewat daripada jadual.

Ia menambah purata nilai bagi projek pusat data kini mencecah US$3 bilion, melonjak daripada US$150 juta pada lima tahun lalu yang didorong oleh perkembangan pesat kecerdasan buatan (AI). Hal ini menyerlahkan penumpuan risiko yang kini membebankan kedua-dua model penyampaian dan kapasiti insurans.

Laporan itu menyatakan kebolehinsuransan kini muncul sebagai petunjuk utama bagi kebolehlaksanaan projek dan semakin berkembang sebagai isyarat masa nyata untuk daya tahan asas sesuatu projek.

Ia menambah terma-terma insurans sering kali mencerminkan risiko penyampaian lebih awal daripada pasaran modal dan menggesa pemilik projek dan kontraktor supaya menjadikan kebolehinsuransan sebagai metrik utama bersama dengan kos, jadual dan keselamatan, bukan sekadar pertimbangan selepas pembinaan sudah bermula.

Laporan itu memanfaatkan pandangan berstruktur daripada 31 pakar merangkumi bidang pengunderaitan, tuntutan, kejuruteraan risiko, dan pembinaan, berdasarkan temu bual yang dijalankan antara Disember 2025 dan Mac 2026.

-- BERNAMA