PNB Tumpu Capai Pertumbuhan Kukuh Di Tengah Ketidaktentuan Global

KUALA LUMPUR, 18 Jun (Bernama) -- Permodalan Nasional Bhd (PNB) akan terus mengekalkan momentum prestasi kukuh yang dicatatkan pada 2025 sambil kekal berwaspada terhadap persekitaran luaran yang semakin mencabar dan kompleks.

Pemangku Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Datuk Rizal Rickman Ramli berkata prospek global terus dipengaruhi oleh ketegangan yang meningkat serta ketidaktentuan makroekonomi khususnya peningkatan konflik di Asia Barat.

Beliau berkata perkembangan itu memberi tekanan tambahan kepada landskap geopolitik global yang sedia rapuh, mengganggu rantaian bekalan, menjejaskan aliran tenaga serta meningkatkan turun naik harga tenaga global.

"Perkembangan ini dijangka memberi kesan rantaian kepada pertumbuhan global dan pasaran modal.

"Dalam mengharungi persekitaran ini, daya tahan kami disokong oleh tindakan di peringkat portfolio dan organisasi sambil terus menyampaikan nilai mampan kepada pemegang unit kami,” katanya dalam satu kenyataan sempena penerbitan Laporan Bersepadu 2025 (IR 2025) hari ini.

Menurut IR 2025, pengurus dana itu mencatatkan prestasi pelaburan yang kukuh apabila aset di bawah pengurusan (AUM) meningkat kepada RM366.5 bilion, sekali gus menghampiri sasaran LEAP-6 sebanyak RM400 bilion menjelang 2027, meskipun berdepan ketegangan perdagangan, pelonggaran dasar monetari yang terkawal serta ketidaktentuan geopolitik.

Dana utama Amanah Saham Bumiputera (ASB) mengisytiharkan dividen sebanyak 5.75 sen seunit, menghasilkan agihan rekod sebanyak RM15.3 bilion kepada 11.4 juta pemegang unit di seluruh negara.

“Pertumbuhan AUM kami mencerminkan bukan sahaja kekuatan kewangan, malah keberkesanan pendekatan berteraskan pelanggan serta strategi pelaburan yang berdisiplin,” kata Rizal Rickman.

Sementara itu, beliau berkata penyatuan Ekuiti Nasional Bhd (Ekuinas) di bawah PNB merupakan perkembangan struktur penting yang akan memberi implikasi jangka panjang terhadap peranan PNB dalam landskap korporat Malaysia.

Ini termasuk memperkukuh keupayaan dalam membangunkan perusahaan Bumiputera sepanjang perjalanan pertumbuhan mereka, dari pra hingga pasca penyenaraian.

Seiring itu, peranan PNB dalam Program Pengaktifan dan Reformasi Syarikat Berkaitan Kerajaan (GEAR-uP) serta inisiatif 10 Juara Bumiputera mencerminkan komitmennya untuk memupuk pertumbuhan ekonomi yang inklusif dan membangunkan perniagaan yang berdaya saing serta bersedia menghadapi masa hadapan.

Laporan itu turut menonjolkan kemajuan PNB dalam mengintegrasikan amalan kemampanan merentas portfolio dan operasinya.

Organisasi ini mencapai pelepasan sifar bersih (Net Zero Enterprise) bagi Skop 1 dan Skop 2 pada 2025, menandakan pencapaian penting dalam perjalanan penyahkarbonannya.

Ia terus mencatat kemajuan ke arah aspirasi Portfolio Sifar Bersih 2050, dengan 40 peratus pelepasan portfolio kini diliputi oleh sasaran sifar bersih yang kredibel.

“Kemampanan bukanlah elemen sampingan kepada strategi kami, ia adalah teras kepada pengurusan risiko, penciptaan nilai dan kredibiliti institusi.

"Pencapaian pelepasan sifar bersih Enterprise pada 2025 membuktikan bahawa kemajuan bermakna boleh dicapai dengan niat yang jelas dan pelaksanaan yang berdisiplin,” kata beliau.

-- BERNAMA