Niaga Hadapan Emas Ditutup Rendah Selepas US Dolar Meningkat
Oleh K. Naveen Prabu
KUALA LUMPUR, 18 Jun (Bernama) -- Niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives ditutup rendah hari ini selepas unjuran agresif Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) telah meningkatkan US dolar sehingga menjejaskan permintaan terhadap logam berharga itu.
Rakan pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata pasaran mengalami penurunan harga semula yang mendadak berikutan mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) terkini apabila Fed memberi isyarat kemungkinan adanya kenaikan kadar.
"Ini sudah cukup untuk menaikkan dolar US dan menurunkan emas sejurus selepas mesyuarat itu," katanya kepada Bernama.
Innes berkata emas berjaya mendapatkan semula beberapa asas semasa dagangan Asia berikutan pemeteraian memorandum persefahaman (MOU) antara AS dan Iran.
Bagaimanapun, lantunan itu kelihatan lebih didorong pengurangan hasil Perbendaharaan AS berbanding kebimbangan geopolitik yang diperbaharui.
“Ketika hasil Perbendaharaan AS melayang lebih rendah, emas menemui ruang untuk bernafas dan mengalami lantunan sederhana daripada paras terendah selepas FOMC,” katanya.
Pemulihan itu, bagaimanapun, pudar semasa sesi London apabila peniaga mengalihkan tumpuan mereka kembali kepada Fed dan prospek laluan dasar monetari yang lebih ketat, kata Innes.
"Pasaran semakin menafsirkan FOMC sebagai bank pusat yang lebih agresif yang tidak hanya menahan tetapi sedang membuka ruang untuk mengetatkan lagi sekiranya inflasi terbukti berpanjangan," katanya.
Innes berkata dolar US yang lebih kukuh dan hasil Perbendaharaan yang lebih tinggi menimbulkan persekitaran yang mencabar untuk emas, kerana ia meningkatkan kos peluang bagi memegang aset yang tidak memberi hasil.
“Yang penting sekarang ialah sama ada hasil boleh pulih semula selepas kejutan dasar awal, membolehkan emas stabil atau sama ada pasaran akan terus menetapkan harga dalam laluan Fed yang lebih ketat ke separuh kedua tahun ini,” katanya.
Pada penutup, kontrak bulan semerta Jun 2026 berkurangan kepada US$4,275.20 setiap auns troy daripada US$4,351.30 yang dicatatkan pada Selasa, manakala Julai 2026 turun kepada US$4,287.20 setiap auns troy daripada US$4,363.30. Ogos 2026 merosot kepada US$4,307.80 setiap troy auns daripada US$4,383.20
Kontrak September 2026 berada pada US$4,312.30 setiap auns troy, manakala Oktober 2026 dan Disember 2026, kedua-duanya ditambat pada US$4,331.40 setiap auns troy.
Jumlah dagangan meningkat kepada lima lot berbanding empat pada Selasa, manakala kepentingan terbuka melonjak kepada 69 kontrak daripada 67 sebelumnya.
Sementara itu, berdasarkan penetapan tengah hari London Bullion Market Association pada 17 Jun 2026, emas fizikal ditetapkan pada US$4,341.85 setiap troy auns.
-- BERNAMA