Aliran Trafik Antarabangsa KLIA Naik Dua Peratus Sejajar Kempen TMM 2026 -- MAHB
KUALA LUMPUR, 19 Jun (Bernama) -- Pertumbuhan aliran trafik antarabangsa yang berterusan hanya mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai gerbang serantau utama di bawah kempen Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026, menurut Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB).
Menerusi kenyataan hari ini, pengendali lapangan terbang itu memaklumkan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mencatat sebanyak 4.9 juta pergerakan atau mobiliti penumpang pada Mei 2026, termasuk 3.6 juta penumpang antarabangsa yang merupakan peningkatan sebanyak dua peratus berbanding Mei 2025.
Di serata rangkaian kendalian Malaysia Airports, jumlah pergerakan penumpang mencecah 7.9 juta pada bulan berkenaan, disokong oleh kesalinghubungan penerbangan antarabangsa yang terus kukuh.
“Langkah memperkenalkan perkhidmatan penerbangan terus antara Chongqing dan Kuala Lumpur, hanya mengukuhkan lagi kesalinghubungan kita dengan China yang juga antara pasaran pengunjung utama bagi Malaysia.
“Tindakan mengembangkan lagi ketersambungan udara yang strategik seperti ini, kekal penting dalam usaha menyokong pertumbuhan pelancongan selain meningkatkan akses Malaysia kepada pengembara antarabangsa,” kata Pengarah Urusan MAHB Datuk Mohd Izani Ghani.
Menurut MAHB, terdapat beberapa penambahbaikan berorientasikan penumpang yang siap sepanjang bulan berkenaan, termasuk kaunter daftar masuk yang dinaik taraf di Lapangan Terbang Miri (MYY) dan Lapangan Terbang Limbang (LMN), zon pengambilan e-hailing yang diperluas di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LGK) serta fasa pertama kerja-kerja pengubahsuaian tandas di Lapangan Terbang Subang (SZB).
Selain itu, Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul Sabiha Gökçen (ISG) iaitu aset antarabangsa milik penuh MAHB di Turkiye, telah mengendalikan sebanyak 4.1 juta penumpang pada Mei 2026 yang merupakan peningkatan 10.8 peratus berbanding April 2026.
-- BERNAMA