Niaga Hadapan KLCI Dijangka Berlegar Dalam Julat 1,700 Hingga 1,730 Minggu Hadapan
Oleh Siti Noor Afera Abu
KUALA LUMPUR, 20 Jun (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) dijangka bergerak dalam julat 1,700 hingga 1,730 pada minggu hadapan, dengan potensi menguji paras atas julat tersebut sekiranya sentimen luaran kekal positif.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata prospek pasaran tempatan kekal memberangsangkan susulan peningkatan selera risiko global, keadaan geopolitik yang lebih stabil serta penilaian saham yang menarik, sekali gus menyokong minat pelabur.
“Walaupun aktiviti pengambilan untung dijangka berterusan, kami menjangkakan peluang pembelian akan muncul ketika kelemahan pasaran,” katanya kepada Bernama.
Bagi minggu yang baru berakhir, kontrak niaga hadapan FBM KLCI mencatat dagangan tidak menentu seiring prestasi pasaran tunai.
Secara mingguan, kontrak Jun 2026 meningkat 26.5 mata kepada 1,716.0, kontrak Julai 2026 naik 25 mata kepada 1,717.0, kontrak September 2026 menambah 24.5 mata kepada 1,697.0, manakala kontrak Disember 2026 meningkat 24 mata kepada 1,697.0.
Jumlah dagangan mingguan susut kepada 32,203 lot daripada 39,538 lot pada minggu sebelumnya, manakala kepentingan terbuka meningkat kepada 37,764 kontrak berbanding 31,623 pada penutup minggu sebelumnya.
Dalam pada itu, indeks penanda aras meningkat 28.40 mata kepada 1,712.03 daripada 1,683.63 pada minggu sebelumnya.
-- BERNAMA