Kerjasama Di Turkmenistan Perkukuh Kedudukan Sektor Tenaga Malaysia Di Peringkat Global
Daripada Sharifah Hunaini Syed Ismail
ASHGABAT (TURKMENISTAN), 20 Jun (Bernama) -- Sejak 1996, Petroliam Nasional Bhd (Petronas), menerusi anak syarikat milik penuhnya Petronas Carigali (Turkmenistan) Sdn Bhd (PC(T)SB) telah beroperasi di Turkmenistan, sebuah negara Asia Tengah yang mempunyai antara rizab minyak dan gas terbesar dunia.
Kini, genap 30 tahun kehadiran syarikat minyak dan gas negara itu di Turkmenistan, dan pencapaian itu diraikan Petronas menerusi pemeteraian beberapa perjanjian baharu bagi memperkukuh kerjasama strategik jangka panjang antara kedua-dua negara.
Detik bersejarah itu bertepatan dengan lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Turkmenistan, sekali gus melambangkan hubungan berterusan antara kedua-dua negara serta kerjasama selama tiga dekad yang dibina berasaskan kepercayaan, aspirasi bersama dan penciptaan nilai mampan dalam sektor tenaga.
Perjanjian Perkongsian Pengeluaran (PSA) yang meliputi Blok Luar Pesisir 19 dan 20 serta perjanjian kerjasama (CA) bagi kajian seismik 2D untuk blok luar pesisir utara, ditandatangani PC(T)SB bersama State Concern Turkmennebit (Turkmennebit) dan State Enterprise Hazarnebit (Hazarnebit) bagi memperkukuh kehadirannya di Laut Kaspia serta memperluas portfolio huluannya di negara itu.
Di bawah PSA yang dimeterai, PC(T)SB akan memperoleh kepentingan penyertaan 100 peratus bagi Blok 19 dan 20, sekali gus menandakan kemasukan Petronas ke kawasan eksplorasi baharu di Turkmenistan manakala CA pula membolehkan pengumpulan data seismik baharu bagi menutup jurang data sedia ada serta membolehkan penilaian lebih menyeluruh terhadap blok luar pesisir utara.
Selain itu, Perjanjian Rangka Kerja Kerjasama Jangka Panjang bagi Pembangunan Sumber Hidrokarbon Turkmenistan telah dimeterai antara kedua-dua negara yang membuka ruang kerjasama lebih luas merangkumi potensi pembangunan Medan Galkynysh, antara medan gas terbesar di dunia, selain peluang dalam sektor hiliran dan industri berkaitan termasuk penapisan minyak, pemprosesan gas serta bahan kimia berasaskan gas.
Petronas menggambarkan perjanjian itu sebagai cerminan keyakinan syarikat itu terhadap potensi berterusan sektor tenaga Turkmenistan serta kepercayaan terhadap kerjasama jangka panjang berasaskan prinsip saling menghormati dan kolaborasi teknikal.
Perdana Menteri yang berada di Turkmenistan bagi lawatan dua hari bermula 18 hingga 19 Jun turut menyaksikan pemeterian tersebut bersama-sama Presiden Serdar Berdimuhamedov.
Beliau menyifatkan keupayaan Petronas memperoleh rizab gas antara yang terbesar dunia sebagai satu kejayaan luar biasa yang bakal mengatasi kebimbangan mengenai kekurangan bekalan gas dalam negara di tengah-tengah krisis bekalan global.
Langkah ini sekali gus akan meningkatkan lagi keupayaan Petronas untuk terus menjana eksport dari Malaysia ke negara pengimport gas seperti Jepun, Korea Selatan, China dan beberapa negara lain.
Menerusi Kenyataan Bersama Malaysia dan Turkmenistan sempena lawatan rasmi itu, kedua-dua negara memperkukuh komitmen untuk memperluas kerjasama dalam sektor tenaga dan pada masa sama mengiktiraf sumbangan positif Petronas dalam sektor itu sejak sekian lama.
Perdana Menteri dan Berdimuhamedov turut meraikan ulang tahun ke-30 kerjasama antara Turkmenistan dan Petronas, yang disifatkan sebagai pencapaian penting dalam hubungan yang kukuh dan berpanjangan antara kedua-dua pihak.
Selain memperkasakan sektor tenaga negara, lawatan rasmi itu membuka ruang perbincangan dua hala antara Anwar dan Berdimuhamedov dan peluang untuk kedua-dua pemimpin bertukar-tukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama, khususnya perkembangan di ASEAN dan rantau Asia Tengah.
Antara yang dibincangkan adalah status semasa hubungan dua hala dan meneroka peluang untuk terus memperkukuh kerjasama dalam perdagangan dan pelaburan sektor lain seperti pertanian dan komoditi, tenaga, pelancongan, pendidikan, digital serta sains dan teknologi.
Kedua-dua kerajaan turut memuktamadkan dan memeterai beberapa perjanjian dan memorandum persefahaman (MoU) iaitu MoU antara Akademi Sains Malaysia dan Akademi Sains Turkmenistan; antara pihak berkuasa penerbangan Malaysia dan Turkmenistan; serta antara kerajaan Malaysia dan Turkmenistan mengenai latihan diplomat.
Kedua-dua pihak turut memeterai Perjanjian Perkhidmatan Udara antara Malaysia dan Turkmenistan selain pengumuman MoU Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) dan institusi pengajian tinggi Turkmenistan.
Kesemua dokumen ini mencerminkan kesepakatan Malaysia dan Turkmenistan untuk membina hubungan dua hala yang lebih tersusun, progresif dan saling melengkapi, berteraskan kepentingan strategik serta manfaat jangka panjang kepada rakyat.
Pada 2025, Turkmenistan adalah rakan dagang keempat terbesar Malaysia daripada kalangan negara Asia Tengah.
Nilai perdagangan dua hala antara Malaysia dan Turkmenistan berjumlah RM75.80 juta, dengan eksport Malaysia bernilai RM75.50 juta, mencatatkan peningkatan sebanyak 9.0 peratus peratus daripada angka pada tahun sebelumnya.
Turkmenistan juga merupakan destinasi pelaburan utama Petronas, dengan jumlah pelaburan Petronas di negara ini telah mencecah RM52.73 bilion sejak 1996 sehingga kini.
Lawatan rasmi Anwar ke Turkmenistan adalah atas undangan Berdimuhamedov dan juga merupakan kunjungan balas susulan lawatan rasmi presiden itu ke Malaysia pada Disember 2024.
Lawatan berkenaan juga menandakan lawatan rasmi Anwar yang pertama ke Turkmenistan dan kelima oleh Perdana Menteri Malaysia sebagai manifestasi hubungan erat antara kedua-dua negara yang terjalin sejak sekian lama.
-- BERNAMA