Malaysia Pada Kedudukan Kukuh Teraju Pembiayaan Peralihan Tenaga - TNB
KUALA LUMPUR, 21 Jun (Bernama) -- Sambutan memberangsangkan terhadap dua terbitan bon Islam oleh Tenaga Nasional Bhd (TNB) berjumlah RM2.5 bilion bagi projek peralihan tenaga menunjukkan bahawa Malaysia berada pada kedudukan kukuh untuk menerajui pembiayaan peralihan tenaga di rantau ini.
Ketua Pegawai Tenaga baharu TNB Mohd Zarihi Mohd Hashim berkata dua terbitan sukuk pada 2026 itu yang merangkumi RM1 bilion untuk projek solar pada Mei dan RM1.5 bilion bagi projek hidro pada Mac, masing-masing terlebih langgan sebanyak lima kali.
Beliau berkata pengalaman TNB sejak kebelakangan ini menggambarkan trend berkenaan sekali gus menunjukkan bahawa permintaan besar daripada pelabur yang semakin meningkat di peringkat serantau dan global.
“Pencapaian itu menunjukkan pelabur amat berminat dengan aset tenaga boleh baharu (TBB) yang disediakan dengan rapi dan boleh dibiayai bank, disokong oleh struktur yang jelas dan rakan niaga yang mantap,” katanya.
Mohd Zarihi berkongsi pandangan beliau mengenai bagaimana Malaysia boleh menyalurkan dana yang tersedia kepada projek yang tersusun rapi bagi menyokong aspirasi negara mencapai pelepasan karbon sifar bersih, pada Persidangan Peralihan Tenaga 2026 (ETCon26) yang diadakan baru-baru ini.
Beliau berkata Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) menganggarkan keperluan pembiayaan sebanyak RM1.2 trilion hingga RM1.3 trilion dalam tempoh 25 tahun akan datang atau kira-kira RM50 bilion setahun.
Di peringkat global, sebanyak US$2.3 trilion telah disalurkan kepada projek peralihan tenaga pada 2025 sekali gus menunjukkan bahawa ketersediaan modal bukanlah menjadi kekangan utama.
Mohd Zarihi berkata sesi perbincangan panel yang diadakan pada ETCon26 merumuskan bahawa cabaran yang lebih mendesak terletak pada kelajuan dan skala pelaksanaan projek.
Projek-projek memerlukan persediaan yang lebih kukuh, pengaturan kontrak yang lebih jelas serta isyarat dasar yang stabil bagi membolehkan modal dilaburkan dengan lebih cekap.
Mekanisme perkongsian risiko, termasuk pembiayaan campuran dijangka memainkan peranan penting terutama dalam kalangan pemaju kecil dan teknologi baharu, katanya.
Sambutan yang menggalakkan terhadap dua terbitan sukuk TNB itu menunjukkan permintaan yang besar dalam kalangan pelabur.
Minat yang tinggi itu mencerminkan keyakinan institusi terhadap inisiatif peralihan tenaga syarikat utiliti berkenaan serta sasaran NETR untuk mencapai pelepasan sifar bersih menjelang 2050.
Pembiayaan peralihan tenaga merangkumi projek TBB seperti solar dan hidro, hidrogen hijau, pemerangkapan karbon, kecekapan tenaga, kemajuan mobiliti elektrik serta inisiatif berkaitan tenaga.
Mohd Zarihi berkata pembiayaan untuk projek peralihan tenaga berkembang pesat sekali gus memberi penekanan yang lebih besar sama ada projek itu boleh dibiayai oleh bank dan bersedia untuk menerima modal pelaburan.
Mengulas mengenai kesediaan Malaysia untuk menjadi peneraju dalam pembiayaan peralihan tenaga di rantau ini, beliau berkata kerangka kawal selia dan garis panduan berkaitan iklim telah disediakan manakala pasaran modal menunjukkan sokongan terhadap instrumen berfokuskan peralihan.
“Keutamaan pada masa ini adalah mempercepat penyaluran modal kepada projek yang boleh dibiayai, infrastruktur berdaya tahan serta pelaksanaan berskala besar yang menyokong aspirasi peralihan negara,” katanya.
-- BERNAMA