Diplomasi Dengan Semua Negara Bantu Jamin Bekalan Tenaga Jangka Panjang Sektor Logistik, Pengangkutan

KUALA LUMPUR, 23 Jun (Bernama) -- Jaminan perjanjian jangka panjang untuk membekalkan minyak, gas dan diesel bagi tempoh sekurang-kurangnya 20 tahun memberi manfaat serta kestabilan kepada sektor logistik dan pengangkutan, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook.

Beliau berkata bekalan tenaga yang stabil amat penting kerana bekalan yang terjamin dan berterusan boleh memastikan operasi untuk kedua-dua sektor itu berjalan dengan lancar.

Menurutnya, bekalan tenaga yang stabil sentiasa menjadi keutamaan kerajaan dalam situasi semasa dan disokong oleh pendekatan dasar luar malaysia yang berkecuali serta menjalin hubungan baik dengan semua negara.  

"Kita mengambil pendekatan berani untuk berdiplomasi dengan semua negara, khususnya kuasa-kuasa besar seperti Rusia, Amerika Syarikat (AS) dan China.

"Pendekatan ini membantu memastikan negara mempunyai akses kepada sumber dan bekalan tenaga yang mencukupi serta berterusan," katanya pada Persidangan Ekonomi Maritim Global 2026 di sini hari ini.

Terdahulu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberitahu media di Pulau Pinang bahawa kerjasama strategik dengan Rusia dapat memastikan bekalan tenaga negara untuk tempoh yang lama.

Anwar berkata Presiden Rusia Vladimir Putin telah memberi jaminan terhadap perjanjian jangka panjang untuk membekalkan minyak, gas dan diesel kepada Malaysia bagi tempoh sekurang-kurangnya 20 tahun.

Langkah itu mencerminkan hubungan dua hala yang kukuh dan persahabatan baik antara Malaysia dan Rusia.

Ditanya mengenai impak kelonggaran sekatan dan pengecualian 60 hari untuk penjualan minyak mentah Iran ke atas industri pengangkutan minyak maritim secara umumnya, Loke berkata kelonggaran ini akan memberikan lebih banyak penawaran minyak di pasaran global dan seterusnya menstabilkan harga minyak di pasaran antarabangsa.

"Perkembangan ini dilihat sebagai perkara yang positif kerana ia memberi peluang untuk mempelbagaikan sumber bekalan minyak.

"Akan tetapi, keadaan pada hari ini (perjanjian antara AS dan Iran) masih tidak begitu stabil dan berubah-ubah, jadi kita tak boleh mengambil sikap bahawa itulah keadaan (keputusan) muktamad, jadi kerajaan Malaysia mengambil pendekatan yang tegas dan jelas, iaitu mempelbagaikan bekalan dan sumber tenaga negara bagi memastikan aktiviti ekonomi tidak terjejas," kata beliau lagi.

Dalam perkembangan yang sama, beliau berkata syarikat penerbangan negara masih bertahan meskipun berdepan kos operasi yang lebih tinggi dan sedikit penurunan dari segi jumlah penerbangan.

"Tetapi, dari segi angka yang kita lihat (kesan ke atas jumlah penerbangan) ini, negara kita kecil berbanding dengan negara-negara lain di mana syarikat penerbangan mereka menghentikan penerbangan mereka di kebanyakan destinasi," tambah beliau lagi. 

Loke juga menegaskan kementeriannya turut mengadakan perbincangan awal dengan syarikat-syarikat penerbangan berkenaan isu itu.

"Ini satu perkara yang amat penting kerana sektor penerbangan berkait rapat dengan sektor pelancongan dan sektor perniagaan," tambah beliau.

-- BERNAMA