Niaga Hadapan Emas Ditutup Lebih Rendah

Oleh Danni Haizal Danial Donald

KUALA LUMPUR, 25 Jun (Bernama) -- Niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives ditutup lebih rendah untuk hari ketiga berturut-turut pada Khamis, terjejas oleh jangkaan kadar faedah Amerika Syarikat (AS) yang lebih tinggi berikutan pengumuman data inflasi Perbelanjaan Penggunaan Peribadi (PCE) AS lewat malam ini.

Rakan Kongsi Pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata siaran data inflasi PCE AS boleh mengesahkan tekanan menurun jangka pendek ke atas harga emas jika bacaan itu lebih tinggi daripada jangkaan.

Innes berkata kepada Bernama bahawa imbangan yang lebih besar untuk jongkong emas ialah penurunan mendadak harga minyak mentah, yang jelas merupakan disinflasi dalam gambaran yang lebih meluas.

“Keluk hasil AS yang lebih rata, penyertaan dana dagangan bursa yang lemah dan keutamaan spekulatif yang lebih meluas bagi ledakan perdagangan kecerdasan buatan (AI) menyebabkan logam kuning itu bergelut untuk mendapatkan sokongan pelabur.

“Ketika ini, logam berharga itu kurang dianggap sebagai lindung nilai makro dan lebih kepada modal yang digunakan semula ke dalam perdagangan AI,” katanya. 

Pada penutup, kontrak semerta bulan Jun 2026 susut kepada US$3,997.10 setiap auns troy daripada US$4,073.70 ketika ditutup pada Rabu, kontrak Julai 2026 berkurang kepada US$4,011.50 setiap auns troy daripada US$4,088.10 semalam, dan kontrak Ogos 2026 merosot kepada US$4,033.80 setiap auns troy daripada US$4,110.40.

Kontrak September 2026 menyusut kepada US$4,038.30 setiap auns troy daripada US$4,114.90 ketika ditutup sebelumnya, manakala kontrak Oktober 2026 dan Disember 2026 lebih rendah pada US$4,057.40 setiap auns troy berbanding US$4,134.00 semalam.

Jumlah dagangan berkurang kepada 12 lot daripada 17 lot pada Rabu manakala kepentingan terbuka merosot kepada 73 kontrak daripada 82 sebelumnya. 

Sementara itu, emas fizikal berada pada US$4,024.45 setiap auns troy berdasarkan penetapan London Bullion Market Association pada 24 Jun 2026. 

-- BERNAMA