EKONOMI

Peruntukan RM900 Juta Beri Manfaat Untuk Pembeli Rumah Pertama - PropertyGuru

26/10/2024 01:46 PM

KUALA LUMPUR, 22 Okt (Bernama) -- Cadangan kerajaan memperuntukkan sejumlah RM900 juta bagi Program Residensi Rakyat (PRR) dan Rumah Mesra Rakyat menerusi Belanjawan 2025, mampu menangani keperluan kritikal terhadap pilihan perumahan mampu milik di tengah-tengah ketidaktentuan ekonomi.

Pengurus Negara bagi PropertyGuru dan iProperty Malaysia Kenneth Soh berkata ini penting terutamanya dalam pasaran dengan inflasi, kadar faedah tinggi serta peningkatan kos sara hidup terus menjejaskan kemampuan rakyat membeli rumah pertama mereka.

“Kami memuji tindakan proaktif kerajaan yang digariskan dalam Belanjawan 2025 dan jelas memaparkan komitmen kukuh untuk menangani keperluan pembeli rumah pertama di negara ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Soh juga menyifatkan peruntukan RM12.8 bilion bagi Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) untuk menyokong sebanyak 57,000 pembeli rumah pertama sebagai satu langkah signifikan dalam meningkatkan akses kewangan bagi tujuan pemilikan rumah.

“Ini meluaskan lagi kelayakan bagi skim itu dan membolehkan individu dengan rekod kewangan terhad atau pendapatan lebih rendah membuat permohonan pinjaman.

“Mengikut kajian sentimen pengguna bagi separuh kedua 2024 yang kami lakukan, sebanyak 44 peratus daripada pembeli rumah pertama bergelut membuat simpanan untuk membayar wang pendahuluan. Keadaan ini menunjukkan impak inflasi, kos sara hidup yang tinggi serta peningkatan kadar faedah terhadap kemampuan rakyat Malaysia memiliki rumah sendiri,” katanya.

Ketika membentangkan Belanjawan 2025 pada 18 Oktober lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata hampir RM900 juta telah diperuntukkan bagi melaksanakan 48 PRR dan 14 Rumah Mesra Rakyat.

Mengulas cadangan kerajaan memberi pelepasan cukai ke atas bayaran faedah pinjamana perumahan bagi menggalakkan pemilikan rumah pertama, Soh berkata langkah itu sejajar dengan keperluan mendadak bagi menyokong pasaran perumahan.

Pada masa sama, ini turut mencerminkan reaksi kerajaan terhadap cabaran dihadapi bakal pemilik rumah serta mengukuhkan komitmen mereka bagi mewujudkan landskap perumahan mampu milik dan mudah diakses di negara ini.

“Ketika ramai rakyat mencari jalan mengurangkan beban kewangan mereka, kajian kami mendapati 50 peratus daripada responden menyuarakan hasrat melihat sokongan lebih besar kerajaan menerusi skim perumahan mampu milik dan subsidi kewangan,” katanya.

Dala pada itu, Soh turut berkongsi komitmen PropertyGuru Malaysia untuk terus komited dalam usaha memperkasa pengguna dengan data serta maklumat yang diperlukan bagi membuat keputusan pemilikan rumah yang tepat.

“Kerjasama kerajaan dengan sektor swasta penting dalam memacu penyelesaian jangka panjang dalam kemampuan memiliki rumah.

“Kami yakin menerusi semua usaha ini, lebih banyak rakyat Malaysia akan berpeluang menangani halangan kewangan dan mempunyai akses terhadap pelbagai pilihan dalam membeli rumah,” katanya.

 -- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy