JOHOR BAHRU, 23 Okt (Bernama) -- Operator pelabuhan perlu melihat rancangan Thailand membangunkan jambatan darat di Segenting Kra dari sudut positif untuk kekal berdaya saing, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.
Beliau berkata operator pelabuhan perlu meningkatkan kecekapan operasi serta merangka strategi sesuai dengan dasar luar negara yang mesra pelabur bagi menyaingi projek di negara jiran itu.
“Ini adalah rancangan Thailand, kita fokus kepada pelabuhan kita dan tingkatkan kecekapan. Masing-masing ada hak bangunkan pelabuhan masing-masing, semua bersaing bina pelabuhan dan infrastruktur, kita tidak boleh menyekat atau menghalang mana-mana negara.
“Kita tidak perlu bimbang kerana kita ada kelebihan semula jadi dari segi kedudukan geografi dan perkara ini tidak boleh diubah. Kita berada di Selat Melaka dan Laut China Selatan, ini merupakan antara laluan perairan paling sibuk di dunia,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan dan Pameran Logistik Pelabuhan-Pelabuhan ASEAN 2024 di sini hari ini.
Turut hadir Pengerusi Lembaga Pengarah Lembaga Pelabuhan Johor (LPJ) Rosnan Fathlal, Pengurus Besar LPJ Datuk Monaliza Suhaimi dan Pengarah Urusan Transport Events Management Sdn Bhd Dr Rory James Doyle.
Menurut Loke, kelebihan pelabuhan di Malaysia bukan sahaja dalam aspek perdagangan semata-mata tetapi juga dilengkapi sektor perindustrian kukuh yang menyokong import eksport sekali gus berupaya menarik kapal untuk terus berlabuh.
Media sebelum ini melaporkan Thailand bercadang membina jambatan darat menghubungkan Ranong di barat dan Chumphon di timur bagi mengurangkan masa perkapalan antara Lautan Hindi dan Pasifik dengan mengelak Selat Melaka.
Sementara itu dalam perkembangan lain, Loke berkata Kementerian Pengangkutan tidak akan mengkaji semula pelaksanaan cukai jalan secara digital yang mula dilaksanakan sejak tahun lepas walaupun terdapat rungutan daripada segelintir pihak.
Beliau menasihatkan pemandu kenderaan persendirian yang memerlukan cukai jalan secara fizikal dan mereka yang berkunjung ke negara jiran menggunakan kenderaan persendirian untuk mencetak dokumen tersebut.
“Semua perkara sudah digital sekarang tetapi jika ada keperluan mempunyai cukai jalan fizikal termasuklah untuk ke luar negara, pengguna boleh cetak, tiada masalah. Kita tidak akan kaji semula (cukai jalan digital), kita perlu progresif,” katanya.
Mengenai Persidangan dan Pameran Logistik Pelabuhan-Pelabuhan ASEAN 2024, Loke berkata program selama tiga hari bermula semalam itu bertujuan memperkenalkan teknologi terkini yang boleh diaplikasikan oleh operator pelabuhan di rantau ini.
“Selain mendedahkan pelabuhan Malaysia dan Johor ke peringkat antarabangsa, kita juga galakkan pengusaha pelabuhan melabur bagi mendapatkan teknologi terkini khususnya dalam bidang automasi dan kecerdasan buatan (AI),” katanya.
-- BERNAMA