AM

Wanita Dari Sabah Pengunjung Ke Setengah Juta Jambatan Angkat, Menang Jongkong Emas

25/10/2024 09:05 PM

KUALA NERUS, 25 Okt (BERNAMA) -- Seorang wanita dari Tawau, Sabah tidak menyangka kunjungan pertama kalinya ke Terengganu membawa tuah, apabila dia diumumkan sebagai pengunjung ke setengah juta (500,000) Jambatan Angkat, sekali gus memenangi hadiah utama sebuah jongkong emas bernilai RM15,000.

Lebih bermakna, Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah berkenan mengurniakan hadiah jongkong emas itu kepada Suriani Sulleh, 30, pada Majlis Santapan Minum Petang di jambatan ikonik tersebut, di sini hari ini.

Suriani yang bekerja di Seri Kembangan, Selangor itu berkata dia bersama keluarga berkunjung ke Terengganu pada Oktober tahun lepas, kerana ingin membantu mengambil barangan adiknya yang menamatkan pengajian peringkat Diploma di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), di sini.

“Ketika itu saya datang ke Terengganu bersama suami (Rusdi Roslan, 30), anak (Syafiq Rauf, 2 tahun), ayah (Sulleh Kuba, 67) dan adik (Nurul Farhana, 25). Pada 12 Okt 2023, kami mengambil keputusan untuk berjalan-jalan di sekitar Kuala Terengganu dan Jambatan Angkat, kerana alang-alang sudah berada di negeri ini.

“Ketika hendak mengisi borang kehadiran pengunjung di kaunter Jambatan Angkat, saya terlihat poster mengenai peluang memenangi jongkong emas kepada pengunjung ke setengah juta. Tetapi ayah saya memberitahu tidak mungkin antara kami memenanginya, kerana ramai lagi pengunjung di Jambatan Angkat ini,” katanya kepada pemberita.

Namun pekerja swasta itu berkata dua hari lepas (Rabu) dia dikejutkan dengan panggilan daripada pihak TI Properties, yang memberitahu dialah pengunjung Jambatan Angkat yang ke setengah juta.

Ibu kepada seorang anak itu berkata buat masa ini, dia bercadang untuk menyimpan jongkong emas itu sebagai pelaburan pada masa hadapan.

Dalam pada itu Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Incorporated Sdn Bhd (Terengganu Inc) Burhanuddin Hilmi Mohamed @Harun berkata hadiah jongkong emas tersebut ditaja oleh TI Properties, anak syarikat Terengganu Inc yang menguruskan pengoperasian Jambatan Angkat.

Beliau berkata hadiah itu, merupakan satu penghargaan pihaknya buat para pengunjung jambatan tersebut.

“Sejak mula beroperasi pada 2019, jambatan ini telah menjadi antara mercu tanda penting pelancongan di Terengganu dan sehingga kini telah menerima kunjungan lebih setengah juta pelawat,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut.

Selain itu katanya kempen ‘Pelawat Drawbridge ke Setengah Juta’ itu dijalankan pihaknya untuk mempromosi dan menjadikan Jambatan Angkat sebagai antara ikon pelancongan utama Terengganu, yang bukan sahaja terkenal di dalam negara malah di peringkat antarabangsa juga.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy