WASHINGTON, 26 Okt (Bernama-Anadolu) -- Seorang angkasawan Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) telah dimasukkan ke hospital berikutan kepulangan misi Crew-8 dari Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS), lapor Agensi Anadolu pada Jumaat.
"Seorang angkasawan yang kekal di Ascension berada dalam keadaan stabil di bawah pemerhatian sebagai langkah berjaga-jaga. Untuk melindungi privasi perubatan anggota kru, butiran khusus mengenai keadaan atau identiti individu itu tidak akan dikongsi," kata NASA.
Misi Crew-8 berjaya mendarat di luar pantai Florida pada awal Jumaat selepas menghabiskan hampir lapan bulan di angkasa lepas. NASA mengesahkan bahawa kapsul SpaceX Dragon berjaya memasuki semula atmosfera dan mendarat dengan normal, serta proses pemulihan kru dan kapal angkasa berjalan lancar.
"Semasa penilaian perubatan rutin di kapal pemulihan, penilaian tambahan ke atas anggota kru diminta sebagai langkah berjaga-jaga," kata agensi itu.
Angkasawan Matthew Dominick, Michael Barratt dan Jeanette Epps bersama angkasawan Rusia Alexander Grebenkin telah dibawa ke Ascension Sacred Heart Pensacola untuk penilaian perubatan.
Walaupun tiga daripada kru telah dibenarkan keluar selepas penilaian dan telah kembali ke Pusat Angkasa Johnson NASA di Houston, seorang angkasawan masih berada di hospital untuk pemerhatian sebagai langkah berjaga-jaga, menurut agensi itu.
-- BERNAMA-ANADOLU