AM

Suria Klcc Meriahkan Sambutan Deepavali Dengan Kempen Warna-Warni, Ganjaran Menarik

29/10/2024 03:18 PM

KUALA LUMPUR, 29 Okt (Bernama) -- Tiga pusat beli-belah di bawah Kumpulan Syarikat Suria KLCC  menganjurkan pelbagai program menarik bagi memeriahkan sambutan Deepavali dengan kempen bertemakan ‘Warna-Warni Deepavali’.

Kempen ini menonjolkan gabungan tradisi, budaya, dan penglibatan komuniti untuk mencipta suasana meriah menjelang perayaan yang akan disambut pada 31 Okt  ini.

Di Suria KLCC, kempen yang berlangsung dari 25 Okt hingga 3 Nov, memberikan pengunjung untuk merasai suasana perayaan yang penuh warna warni, menjelang Deepavali yang bakal diraikan pada Khamis ini.

Dekorasi menarik seperti kalungan bunga, toran tradisional, kolam interaktif, payung mehndi berwarna-warni, dan replika gajah mencipta suasana indah untuk pengunjung bergambar, manakala persembahan tarian tradisional India pada 28 dan 31 Okt serta 2 dan 3 Nov, di Centre Court menambah kemeriahan sambutan.

Sebagai penghargaan kepada pelanggan, Suria KLCC menawarkan e-Baucar bernilai RM50 kepada pengunjung yang berbelanja sebanyak RM800 atau lebih dalam dua resit di kedai-kedai terpilih. Inisiatif ini adalah sebahagian daripada 'Shoppers Reward Programme' yang bertujuan untuk menghargai sokongan pelanggan dan meningkatkan pengalaman berbelanja mereka.

"Deepavali adalah perayaan yang penuh makna, meraikan kemenangan cahaya mengatasi kegelapan, dan kebaikan mengatasi kejahatan. Di Suria KLCC, kami berusaha untuk menawarkan lebih daripada sekadar pengalaman membeli-belah perayaan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Suria KLCC Sdn Bhd Francis Tan dalam kenyataan di sini hari ini.

Kempen sambutan Deepavali di Alamanda Putrajaya yang bermula lebih awal, dari 18 Okt hingga 3 Nov menampilkan dekorasi perayaan yang meriah dan tawaran ganjaran menarik, di mana pelanggan yang berbelanja RM500 dan ke atas dalam dua resit di kedai-kedai khas akan menerima e-Baucar bernilai RM30, manakala ganjaran e-Baucar bernilai RM80 menanti pelanggan yang berbelanja RM1,500.

Mesra Mall di Kemaman, Terengganu turut menyemarakkan perayaan Deepavali dari 25 Okt hingga 3 Novdengan dekorasi menggagumkan termasuk hiasan burung merak megah, lengkungan mughal dan kolam ranggoli. 

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy