KUALA LUMPUR, 29 Okt (Bernama) -- Penyertaan wanita sebagai ahli lembaga pengarah di 100 syarikat teratas yang tersenarai di Bursa Malaysia dan Syarikat-syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) menunjukkan peningkatan ketara dengan mencapai 32.2 peratus setakat 10 Okt lepas, berbanding 25.5 peratus pada 2021.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata peratusan penglibatan wanita sebagai ahli lembaga pengarah bagi syarikat lain turut meningkat daripada 16.9 peratus pada 2021 kepada 25.4 peratus pada tahun lepas.
Beliau berkata pencapaian itu antaranya berikutan Suruhanjaya Sekuriti menambah baik Kod Tadbir Urus Korporat Malaysia (eng: Malaysian Code on Corporate Governance) (MCCG) 2021 dengan memasukkan kenyataan menggalakkan syarikat awam tersenarai untuk memastikan ahli lembaga pengarah terdiri daripada sekurang-kurangnya 30 peratus pengarah wanita.
"Lonjakan pencapaian ini melangkaui sasaran kerajaan di dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) iaitu 30 peratus wanita sebagai lembaga pengarah menjelang 2025," katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Madius Tangau (PH-Tuaran) mengenai langkah bagi memastikan dasar 30 peratus wanita dalam keahlian lembaga pengarah khususnya dalam GLC di negara ini dilaksanakan.
Mengenai penglibatan wanita dalam politik, Nancy berkata perkara itu masih menjadi cabaran dan ia dapat dilihat menerusi perwakilan di Parlimen.
Dalam hal itu, beliau berkata Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat telah menganjurkan Program Perantisan Kepimpinan Wanita 2024 yang bertujuan meningkatkan penglibatan wanita dalam pelbagai kerjaya seperti bidang ekonomi dan politik.
"Ini adalah usaha untuk memperluas penglibatan wanita dalam semua aktiviti di negara ini dan program ini sudah dianjurkan, cuma ia akan dirasmikan sebelum penghujung tahun ini," katanya.
-- BERNAMA