GAYA HIDUP

Tomok, Siti Nordiana Berkongsi Pentas Pada Konsert Memori Februari Depan

29/10/2024 02:02 PM

KUALA LUMPUR, 29 Okt (Bernama) -- Menjanjikan pelbagai kejutan buat peminat mereka, Tomok dan Siti Nordiana akan berkongsi pentas menerusi Konsert Memori Mungkin Berulang yang dijadualkan pada 1 Feb depan di Zepp Kuala Lumpur.

Tomok atau nama sebenarnya Shah Indrawan Ismail, 40, yang juga vokalis kumpulan New Boyz, berkata konsert itu akan mengembalikan memori lama mereka sejak memulakan karier nyanyian ketika masih di bangku sekolah.

“Sepanjang bergelar penyanyi, ini kali pertama kami berkolaborasi demi penyokong dan peminat setia kami.

“Dalam konsert ini kami akan mengimbau kenangan lagu popular Nana duet bersama dengan Allahyarham Achik yang akan dinyanyikan oleh saya. Saya yakin lagu-lagu hit seperti Memori Berkasih, Resipi Berkasih dan Gurauan Berkasih pasti ditunggu-tunggu semua peminat,” katanya dalam kenyataan.

Siti Nordiana atau lebih mesra disapa Nana, 40, dalam kenyataan sama pula berkata peluang sepentas dengan Tomok itu merupakan hadiah terbaik buat peminatnya yang terus menyokong karier mereka berdua sejak awal 2000.

Beliau juga tidak menyangka lagu duetnya bersama Tomok, Memori Mungkin Berulang berjaya mencetuskan fenomena baharu dalam industri muzik.

“Jika dahulu saya amat dikenali dengan Achik kerana kerap tampil dengan lagu duet sehingga berjaya menaikkan nama kami berdua. Kini saya bersyukur apabila lagu Memori Mungkin Berulang juga diterima ramai, terutamanya dalam kalangan anak-anak muda,” katanya.

Tiket konsert anjuran Popsicle Records itu kini dijual menerusi Ticket2u pada harga RM98, RM198, RM298, RM398, RM498 dan VIP BOX RM5,000. 

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy