AM

Tujuh Jambatan Kayu Di Pos Gob Diganti Dengan Jambatan Keluli Bernilai RM1.7 Juta

29/10/2024 09:07 PM

GUA MUSANG, 29 Okt (Bernama) -- Tujuh jambatan kayu di sepanjang jalan utama yang digunakan masyarakat Orang Asli di Pos Gob, di sini, sebagai jalan darat untuk ke bandar telah digantikan dengan jambatan keluli yang dianggarkan bernilai RM1.7 juta.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli Datuk Sapiah Mohd Nor berkata pembinaan jambatan keluli itu, adalah inisiatif Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Kesedar merupakan selaku pelaksana bagi projek itu.

Beliau berkata setakat ini, enam jambatan keluli telah siap dibina sepenuhnya manakala sebuah lagi belum dapat disiapkan kerana masalah cuaca dan beberapa faktor lain.

“Insya-Allah, kita bercadang untuk melantik JKR Kesedar untuk membina beberapa jambatan lain di perkampungan Orang Asli bagi memberi kemudahan perjalanan, melakukan aktiviti harian serta menghantar anak-anak ke sekolah,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy