GAYA HIDUP

Dari Novel Ke Filem, Zulkifli M.Osman Akui Gementar Penerimaan "Mereka Yang Tertewas"

01/11/2024 10:35 AM

KUALA LUMPUR, 1 Nov (Bernama) -- Pelakon dan pengarah filem Datuk Zulkifli M. Osman mengakui gementar menunggu penerimaan penonton terhadap filem arahan terbaharunya Mereka Yang Tertewas yang bakal ke pawagam bermula 7 Nov ini.

Zulkifli berkata filem itu diadaptasi daripada novel tulisan Hasanuddin Md Isa yang diterbitkan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 1988, serta pernah dijadikan teks sastera sekolah menengah dari 1991 hingga 2001.

“Ini adalah filem kedua saya yang diadaptasi daripada novel. Sebelum ini filem percintaan Mira Edora pada 1990, saya olah mengikut cita rasa saya sehingga menjadi isu antara saya dan penulisnya Khadijah Hashim.

“Pun begitu, isu itu menjadi rahmat apabila penonton mahu tengok filem tersebut... kenapa ada pergaduhan antara penulis novel dengan pengarah. Jadi, itu yang membuatkan saya sedikit-sebanyak masih ada perasaan takut nak mengolah novel yang menjadi bahan teks sastera,” katanya pada sidang media tayangan amal filem tersebut di Auditorium DBP, di sini baru-baru ini.

Filem itu yang menerima Dana Kandungan Kreatif daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional, dibintangi oleh Zaidi Omar, Fiza Halim, Fad Anuar, Sherie Merlis, Datuk Hilal Azman, Ruzaidi Abd Rahman, Zaini Hassan dan Man Yakuza.

pic-2

Mereka Yang Tertewas mengetengahkan cerita dakwah berlatarbelakangkan penerapan Islam dalam kehidupan masyarakat di Kampung Bukit Setugal pada era 80-an.

Watak utama Lebai Pai lakonan Zaidi, berusaha mengembalikan pegangan agama penduduk kampung itu yang semakin terpesong, leka dengan hiburan dan terjebak dalam perkara maksiat. Namun, pada masa sama beliau turut difitnah oleh segelintir penduduk kampung hingga beliau dianggap menyebarkan ajarah sesat.

Dalam pada itu, Zulkifli yang hingga kini telah mengarahkan 17 buah filem, mengakui cabaran terbesar untuk menghasilkan filem tersebut ialah mengekalkan keasilan konsep novel dan memastikan segala inti patinya dapat digambarkan mengikut kehendak pembaca.

“Saya perlu menjaga keasliannya, pengikut (pembaca) novel dalam bidang sastera ini ramai dari 1991 hingga 2011. Kalau imignasi melalui pembacaan novel ia terlalu subjektif, jadi apabila nak visualkan dalam filem tak semudah yang disangka.

“Begitu juga dengan babak-babak dalam skrip mungkin nampak besar, tapi kita tidak boleh melebihi daripada bajet yang diperuntukkan. Jadi perlu diimbangkan. Namun, alhamdulillah, kita dapat maklum balas yang baik termasuk daripada penulis asal novel,” katanya.

pic-3

Sementara itu, Zaidi berkata ini adalah kali kedua beliau tampil sebagai agamawan dalam filem yang berdasarkan novel.

“Apabila saya terima tawaran, saya terus jumpa kawan di DBP, dapatkan novel itu dan baca beberapa kali. Selepas dapat skrip, saya baca lagi sekali dan setelah berfikir panjang serta desakan daripada pengarah (Zulkifli), barulah berani memikul tanggungjawab ini,” katanya.

Bagi peminat filem Wahadi Sawin, meskipun filem itu bukan genre kegemaran orang muda hari ini kerana tidak ada kesan visual atau teknik imej janaan komputer, karya berkenaan amat diperlukan bagi mengangkat nilai agama dan budaya masyarakat Melayu.

“Saya berpandangan filem ini bukanlah sebuah hiburan semata, tetapi sebuah medan pendidikan dakwah bagi mereka yang memikirkan agama. Filem ini jelas membawa mesej bahawa amar makruf nahi munkar adalah tanggungjawab semua (umat Islam) tanpa mengira pangkat mahupun taraf pendidikan,” katanya.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy