TAIPEI, 1 Nov (Bernama-dpa) -- Taufan Kong-rey yang melanda Taiwan mengakibatkan sekurang-kurangnya dua kematian manakala lebih 500 cedera, lapor Agensi Berita Jerman (dpa) memetik Pusat Operasi Kecemasan Pusat (CEOC) pada Jumaat.
Taufan yang membawa angin kencang serta hujan lebat meninggalkan pulau itu pada Khamis dan amaran taufan ditarik balik pada Jumaat.
Namun, satu lagi kematian dilaporkan di Taipei apabila sebatang pokok di Daerah Neihu tumbang lalu menghempap dan meragut nyawa seorang penunggang motosikal berusia 48 tahun.
Seramai 515 orang dilaporkan cedera, sementara lebih 11,588 penduduk di kawasan berisiko terpaksa dipindahkan, menurut CEOC.
Pusat itu juga melaporkan lebih 1,429 insiden seperti pokok tumbang, aliran lumpur, dan kerosakan jalan di seluruh pulau.
Kerajaan Bandar Taipei pada Jumaat memaklumkan usaha pembersihan giat dijalankan selepas taufan.
-- BERNAMA-dpa