AM

Koleksi Muzium Arkeologi Lembah Bujang Tinggalan Penting Yang Perlu Dihayati

01/11/2024 05:35 PM

SUNGAI PETANI, 1 Nov (Bernama) -- Pelbagai koleksi arkeologi unik dari kurun ketiga hingga ke-12 Masihi dipamerkan di Muzium Arkeologi Lembah Bujang, Merbok di sini yang merupakan tinggalan sejarah penting untuk dihayati dan difahami.

Pengarah Muzium Arkeologi Lembah Bujang Azhar Mohamed Noor berkata sebagai satu-satunya muzium yang memfokuskan penemuan arkeologi Lembah Bujang, muzium itu menghimpunkan pelbagai khazanah yang menceritakan kepentingan Kedah Tua suatu masa dahulu.

“Antara artifak menarik yang dipamerkan di muzium ini ialah Batu Bersurat Sungai Mas yang mengandungi mantera agama Buddha, kita juga ada arca Ganesha yang diperbuat daripada batu granit, tempayan granit, teko dan pinggan porselin, seramik dan manik-manik kaca.

“Semua koleksi ini adalah satu-satunya dan menarik untuk dilihat oleh orang ramai sekiranya mereka berkunjung ke muzium ini,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata muzium berkenaan memiliki dua galeri pameran iaitu Galeri Arkeologi Lembah Bujang, mempamerkan artifak yang ditemukan sepanjang kerja-kerja ekskavasi arkeologi sejak 1840-an.

Sebuah lagi ialah Galeri Sejarah Perdagangan Lembah Bujang, yang mempamerkan artifak-artifak perdagangan berdasarkan peranan Lembah Bujang sebagai pusat perdagangan entrepot utama, dalam rangkaian perdagangan maritim yang menghubungkan tamadun besar seperti India, China dan Timur Tengah dengan Kepulauan Melayu.

Azhar berkata Galeri Arkeologi Lembah Bujang sebelum ini ditutup pada Oktober 2021 bagi kerja-kerja menaik taraf dan akan dibuka kembali kepada orang ramai mulai esok, dengan penambahbaikan dari sudut pameran dan penyampaian.

“Saya harap dengan pembukaan semula galeri ini, ia memberi nilai tambah kepada Muzium Arkeologi Lembah Bujang dan kita sebenarnya memerlukan sokongan masyarakat untuk berkunjung ke muzium dan menghayati koleksi artifak yang ada,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata seiring dengan pembukaan semula galeri berkenaan, Jabatan Muzium Malaysia (JMM) menerusi Muzium Arkeologi Lembah Bujang, menganjurkan Program Citra Nusa @Arkeologi Lembah Bujang mulai hari ini hingga Ahad.

Azhar berkata Sultan Kedah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah akan berangkat menyempurnakan majlis perasmian program itu esok, yang bertujuan meningkatkan pengetahuan, kefahaman dan penghayatan tentang cita-cita dan prinsip Rukun Negara serta sejarah ketamadunan negara.

“Program ini berteraskan warisan seni dan budaya yang berkonsepkan karnival, yang menyasarkan penyertaan sehingga 5,000 pengunjung sepanjang tiga hari program berlangsung.

“Pelbagai pengisian telah diatur sepanjang tempoh program itu yang turut bertujuan menyemarakkan lagi aktiviti pelancongan, di samping memberi pendidikan kepada pelawat mengenai Lembah Bujang,” katanya. 

Azhar berkata program berkenaan juga diharap dapat menjadi pemangkin bagi meningkatkan kunjungan orang ramai ke muzium itu, yang disasarkan untuk mencapai sehingga 100,000 pelawat pada tahun ini.

“Kita sudah menaik taraf galeri pameran dan mengubah cara penyampaian maklumat dengan memasukan elemen interaktif untuk menarik minat orang ramai terutama pelajar.

“Kita juga akan meningkatkan promosi di semua platform termasuk media sosial, seiring dengan kempen Tahun Melawat Kedah 2025 untuk menggalakkan kedatangan pelancongan ke negeri ini,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy