Oleh Siti Radziah Hamzah
KUALA LUMPUR, 2 Nov (Bernama) -- Pasaran niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives dijangka didagangkan berhati-hati minggu depan disebabkan pelabur mengambil sikap tunggu dan lihat menjelang pilihan raya presiden Amerika Syarikat (AS) pada 5 November ini, kata peniaga.
Bagaimanapun, Pengarah Urusan Pengurusan Aset SPI Stephen Innes berkata sesiapa pun yang menang dalam pilihan raya itu sama ada Donald Trump atau Kamala Harris, ia akan mempengaruhi harga pasaran walaupun kemenangan Kamala Harris dijangka akan menjejaskan ekonomi AS.
Beliau berkata sekiranya di bawah pentadbiran Harris, pasaran diunjur akan menyaksikan defisit meningkat dan dolar AS menjadi lemah, pada masa sama ia akan menyokong kenaikan emas.
“Seandainya Harris menjadi presiden AS, risiko geopolitik mungkin akan meningkat kerana ‘pendirian berlembut’ beliau di pentas global...faktor yang hanya menambah daya tarikan emas sebagai aset selamat,” kata Innes kepada Bernama.
Pasaran emas didagangkan kebanyakannya lebih tinggi pada minggu yang baru berakhir kerana pelabur beralih kepada aset selamat seperti emas berikutan turun naik pasaran menjelang pilihan raya presiden AS.
Bursa Malaysia Bhd dan anak syarikatnya dittutup pada Khamis (31 Oktober) sempena cuti umum perayaan Deepavali.
Bagi asas Jumaat ke Jumaat, kontrak Oktober 2024 meningkat kepada US$2,764.90 setiap auns troy daripada US$2,720.90 setiap auns troy minggu lepas dan November 2024 naik kepada US$2,777.20 setiap auns troy daripada US$2,737.20 sebelumnya.
Kontrak DIsember 2024, Januari 2025 dan Februari 2025 masing-masing melonjak kepada US$2,777.20 setiap auns troy daripada US$2,745.30 auns troy minggu lepas.
Jumlah dagangan niaga hadapan emas merosot kepada 32 lot daripada 173 lot minggu lepas manakala kepentingan terbuka turun kepada lapan kontrak daripada 21 kontrak sebelumnya.
Menurut penetapan petang London Bullion Market Association pada 17 Oktober, harga emas fizikal berada pada AS$2,688.85 setiap auns troy
Harga emas fizikal adalah US$2,734.15 setiap auns troy, menurut penetapan tengah hari oleh Persatuan Pasaran Jongkong London pada 31 Oktober.
-- BERNAMA