DUNIA

Monsha'at Meterai MoU Dengan SME Malaysia Di Forum Biban24

06/11/2024 03:46 PM

RIYADH, 6 Nov (Bernama-SPA) -- Pihak Berkuasa Am bagi Perusahaan Kecil dan Sederhana Arab Saudi (Monsha’at) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) kerjasama dengan Perbadanan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SME Corp) di Forum Biban24, menurut Agensi Berita Saudi (SPA).

Forum anjuran Monsha’at di bawah slogan "Destinasi Global untuk Peluang" berlangsung dari 5 hingga 9 Nov di Pusat Pameran dan Konvensyen Riyadh Front.

MoU ditandatangani oleh Gabenor Monsha’at Sami bin Ibrahim Al-Husseini dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp Rizal Nainy, di hadapan Menteri Perdagangan Arab Saudi Dr Majid bin Abdullah Al-Kassabi dan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Malaysia Datuk Ewon Benedick.

Perjanjian itu menandakan langkah penting dalam mengukuhkan hubungan dan memperluas kerjasama dalam pembangunan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) antara Arab Saudi dan Malaysia.

Ia turut mewujudkan kerangka kerja untuk kedua-dua pihak bekerjasama rapat dalam pertukaran maklumat dan kepakaran bagi menyokong pertumbuhan PKS.

Kerjasama ini menekankan kepada pembinaan kapasiti, program PKS berpotensi tinggi, kemudahan akses pasaran, pemindahan pengetahuan, serta perkongsian amalan terbaik berkaitan peraturan PKS.

Usaha ini bertujuan untuk memperkemaskan operasi perniagaan, meningkatkan inovasi, dan mempromosikan keusahawanan. Biban24 berhasrat untuk meletakkan Arab Saudi sebagai hab terkemuka bagi usahawan di peringkat serantau dan global, dengan inisiatif membangunkan program dan perkhidmatan yang meningkatkan daya saing serta pertumbuhan usaha keusahawanan.

-- BERNAMA-SPA

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy