AM

Kerajaan Komited Pastikan Masyarakat India Terbela Melalui Pelbagai Inisiatif

06/11/2024 07:52 PM

KUALA LUMPUR, 6 Nov (Bernama) -- Kerajaan komited dalam memastikan masyarakat India di Malaysia terus dibela menerusi pelaksanaan pelbagai program pembangunan keusahawanan dan kerjaya.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri R. Ramanan berkata menerusi Belanjawan 2025, kerajaan memperuntukkan RM130 juta untuk manfaat masyarakat India merangkumi RM100 juta kepada Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) dan RM30 juta bagi Skim Pembangunan Usahawan Masyarakat India (SPUMI) di bawah Tekun Nasional.

Selain peruntukan langsung kepada MITRA dan SPUMI, beliau berkata kerajaan menyediakan pelbagai bantuan untuk komuniti itu melalui Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dengan pertambahan dana pembiayaan kepada usahawan berjumlah RM136 juta.

“Inisiatif di bawah KUSKOP seperti program Prosperity, Empowerment and A New Normal (PENN) berjumlah RM50 juta di bawah Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), program pembiayaan Bank Rakyat Indian Entrepreneur Financing-i (BRIEF-i) juga berjumlah RM50 juta sudah disediakan. 

“Selain itu, program Business Accelerator untuk syarikat milikan India bersaiz kecil (I-BAP) berjumlah RM6 juta dan Program SPUMI Goes Big berjumlah RM30 juta. Ini tidak termasuk koperasi India yang telah mendapat bantuan secara one-off untuk mulakan aktiviti,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2025 di Dewan Rakyat hari ini.

Ahli Parlimen Sungai Buloh itu berkata setakat hari ini, seramai 2,644 wanita India telah menerima manfaat daripada program PENN yang melibatkan peruntukan sebanyak RM22.7 juta. 

“Daripada program BRIEF-i, peruntukan sebanyak RM50 juta disediakan dan hampir RM40 juta sudah digunakan dengan seramai 384 usahawan bersaiz skala besar telah menerima bantuan ini dan juga sederhana manakala permohonan I-BAP untuk geran padanan telah dibuka tiga minggu lepas serta mendapat sambutan yang baik dan geran sudah ditutup sebab kita sudah melepasi jumlah yang disediakan sebanyak RM6 juta,” katanya.

Justeru, Ramanan menggalakkan usahawan India merebut semua peluang dan inisiatif yang disediakan bagi meningkatkan taraf ekonomi kaum itu sekali gus membantu merancakkan lagi ekonomi negara.

Menjawab mengenai cadangan pertambahan dana MITRA, beliau berkata perkara itu sedang diteliti dan dalam pertimbangan kerajaan.

“Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) cukup komited untuk memastikan nasib dan kebajikan masyarakat India terjamin. Beliau akan memastikan nasib dan masa depan komuniti India akan sentiasa dijaga serta diberi perhatian selain mendapat nikmat daripada pembangunan negara selaras visi Malaysia MADANI,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy