KUALA LUMPUR, 7 Nov (Bernama) -- Donald Trump, dijangka mengambil pendekatan baharu dalam penggalnya kali ini untuk mengukuhkan keamanan dan kemakmuran serantau di samping mempertingkatkan hubungan perdagangan sedia ada, kata Duta Amerika Syarikat ke Malaysia Edgard D. Kagan.
Meskipun Trump semasa pentadbiran sebelumnya memberi fokus kepada memperkukuh hubungan Indo-Pasifik serta memastikan keamanan dan kemakmuran rantau ini, penggal baharu mungkin menyaksikan perubahan dari segi gaya dan pendekatan, katanya.
"Saya percaya pendekatan itu akan berubah kerana setiap pentadbiran mempunyai gaya tersendiri,” katanya ketika menjawab soalan mengenai dasar pentadbiran Trump selepas kembalinya beliau dalam politik.
“Semasa pentadbiran Trump sebelum ini, asasnya adalah kemakmuran, keselamatan, dan kedudukan global yang banyak dipengaruhi oleh apa yang berlaku di Indo-Pasifik.
"Terdapat juga komitmen untuk memastikan perdagangan yang kukuh berterusan, tetapi secara adil.
"Oleh itu, saya percaya kita boleh menjangkakan sesuatu yang baharu dalam konteks ini,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri “US-Malaysia Vice Chancellor Round Table Dialogue: Partnerships in Higher Education 2024” pada Khamis.
Trump dijangka mengangkat sumpah sebagai presiden untuk penggal kedua pada 20 Jan 2025 selepas menewaskan Naib Presiden Demokrat, Kamala Harris dalam perlumbaan ke Rumah Putih.
Trump pertama kali dipilih sebagai presiden pada 2016, menewaskan bekas Setiausaha Negara, Hillary Clinton.
Pada 2020, beliau tewas kepada Joe Biden, yang pernah berkhidmat sebagai naib presiden di bawah Presiden Barack Obama.
"Akhirnya, kita perlu tunggu dan lihat apa tindakan pentadbiran ini apabila presiden mengangkat sumpah dan mereka yang berjawatan mengambil tempat,” kata Kagan.
Mengenai kemungkinan menamatkan genosid di Gaza, Kagan berkata bahawa setiap pentadbiran AS berhasrat untuk mempromosikan keamanan dan kestabilan.
Hala tuju yang mungkin diambil oleh pentadbiran baharu ini akan menjadi lebih jelas seiring peralihan kuasa, katanya.
“Saya percaya akan ada pentadbiran dan pendekatan yang berbeza, kerana kami telah lama percaya bahawa gencatan senjata adalah penting,” kata duta itu.
— BERNAMA