Oleh Rozlin Rusharneen Rosmin
KUCHING, 9 Nov (Bernama) -- Setiap pasangan mempelai tentunya mahu kelihatan anggun serta berseri di hari berbahagia mereka dan bagi pereka Izzati Iylia Azizan, 31, penggayaan kain layah atau veil sebagai aksesori busana pengantin perempuan mampu menaikkan aura si pemakai.
Lantaran itu, pemilik butik ‘Yaya Azizan’ atau dahulunya dikenali sebagai ‘The Tekat Tekat’ itu mula menghasilkan kain layah sulam eksklusif untuk diperagakan raja sehari, bermula dengan permintaan daripada salah seorang pelanggannya pada tahun 2022.
Mesra disapa Yaya, wanita itu sentiasa membawa bersama pen dan buku nota bagi melukis lakaran ringkas kain layah sulam idaman pelanggannya sewaktu sesi konsultasi yang boleh memakan masa hampir sejam.
“Sebelum itu memang sudah dapat tempahan untuk sulam klasik seperti di atas selendang dan baju kurung, namun lama-kelamaan saya mula menerima pertanyaan daripada pelanggan yang mahukan sulaman khas di atas kain layah untuk dipakai di majlis perkahwinan.
“Sejak itu saya terdetik untuk menjadikan tempahan kain layah sulam bakal pengantin sebagai pasaran khusus kami kerana tidak ramai pereka kain layah di Malaysia. Jadi saya tahu mereka datang kepada saya untuk tujuan tertentu iaitu menghasilkan kain layah yang menjadi impian mereka,” katanya yang juga seorang siswazah undang-undang kepada Bernama.
Butik fesyen Yaya Azizan dengan kepakaran dalam bidang tekat mengambil pelbagai tempahan sulaman untuk pakaian termasuk baju kurung, selendang dan pakaian pengantin di samping fabrik.
pic-2
Menurut Yaya, setiap tempahan kain layah yang menggunakan jahitan mesin dan tangan memerlukan dua jam sehingga hampir sebulan untuk siap sepenuhnya, bergantung kepada tahap kerumitan rekaan serta panjang kain yang dipilih bakal pengantin semasa sesi konsultasi.
Antara elemen sulam yang diketengahkan dalam rekaan sentuhan ‘Yaya Azizan’ serta mendapat permintaan tinggi adalah nama atau parap (initial) pasangan raja sehari, sulam keliling, taburan kristal atau mutiara dan petikan istimewa, dengan harga bermula RM30.
“Saya beritahu pasukan saya, kita mungkin buat kain layah ni setiap hari tetapi untuk seorang pengantin perempuan, kain layah ini paling bermakna buat dirinya, meskipun ada hanya sehalus para di atas kain itu. Saya perlu menghormati dan menghargai kepercayaan yang diberikan dan memastikan kain layah ini disiapkan dengan sempurna dan dihantar kepada pengantin seperti yang dijanjikan.
“Sesi konsultasi bersama bakal raja sehari ini seperti sesi terapi juga sebab semakin mereka menzahirkan idea sulaman untuk kain layah, secara tidak langsung pelanggan juga semakin mengenali personaliti dan kemahuan sebenar mereka,” katanya yang menggemari bidang fesyen sejak di bangku sekolah lagi.
Anak bongsu daripada lima beradik itu mula berjinak-jinak dalam dunia perniagaan fesyen sejak tahun 2015 ketika di belajar di universiti dengan menjual tudung dan pakaian secara dalam talian. Dia juga pernah berkhidmat dalam bidang undang-undang dan korporat sebelum mengambil keputusan menjadi usahawan fesyen sepenuh masa pada tahun 2018.
pic-3
Dengan memiliki hampir 10 pekerja di bawah ‘Yaya Azizan’ yang berpangkalan di Kuala Lumpur, Yaya mendambakan agar jenamanya dapat menembusi pasaran luar negara khususnya Asia Tenggara. Buat masa ini, pihaknya mendapat pertanyaan dari beberapa negara jiran seperti Singapura dan Brunei.
“Di Brunei memang sudah ada mendapat tempahan dan kami menerima maklum balas yang sangat positif daripada mereka sehingga mendapat jemputan untuk menjadi vendor di ekspo perkahwinan di Brunei pada pertengahan tahun ini.
“Untuk perancangan masa depan, sudah tentu harapan utama saya memperbesarkan ruang pengeluaran dengan menambah jumlah mesin pembuatan produk sulam, kemudian besarkan pasukan ‘Yaya Azizan’,” katanya yang mendapat sokongan penuh daripada keluarga untuk meninggalkan dunia perundangan dan menceburi bidang perniagaan.
Jelasnya, ilmu perundangan yang dipelajari membantunya memahami selok-belok perniagaan yang turut melibatkan perjanjian secara secara hitam putih atau bertulis.
“Saya belajar undang-undang untuk membantu orang, jadi menghasilkan kain layah ini untuk kelihatan cantik di hari perkahwinan merupakan cara saya membantu mereka. Pelanggan juga boleh menjadikannya sebagai perhiasan turun-temurun dan saya membantu pelanggan mencipta secebis daripada kisah hidup mereka,” katanya.
-- BERNAMA