GAYA HIDUP

Pelancaran Karya Terakhir Dr Saravanan Iktiraf Sumbangan Dalam Sastera Melayu

10/11/2024 11:12 AM

GEORGE TOWN, 10 Nov (Bernama) -- Diibaratkan sebagai permata jarang ditemukan dalam dunia kesusasteraan Melayu, mendiang Dr Saravanan P. Veeramuthu banyak menyumbang serta memperkaya warisan negara yang didominasi oleh pengkarya Melayu itu.

Mendiang merupakan pensyarah kanan dalam bidang Sastera Melayu di Bahagian Sastera, Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, Universiti Sains Malaysia.

Bagi memberi penghormatan kepada pemikiran dan semangat beliau dalam dunia penulisan, khususnya sastera Melayu, hingga ke akhir hayatnya, tiga koleksi lengkap karya-karya akhir mendiang yang merangkumi Himpunan Puisi; Citra Identiti Kaum India dan novel berjudul Devi dilancarkan semalam.

Usaha tersebut merupakan kerjasama Persatuan Karyawan Pulau Pinang bersama-sama Persatuan Pendita Bahasa Tamil Ipoh Malaysia, Kelab Penghayatan Puisi Tamil Malaysia dan Kelab Penghayatan Akademik Tamil Malaysia.

Presiden Persatuan Karyawan Pulau Pinang Datuk Dr Sohaimi Abdul Aziz berkata karya-karya tersebut mencerminkan pengalaman dan refleksi Saravanan, atau lebih dikenali sebagai Dr Sara, tentang isu sosial, budaya dan kemanusiaan serta komitmennya dalam mendidik generasi muda menerusi seni serta penulisan.

“Kalau ada karya-karya sebegini, orang bukan Melayu yang meminati bahasa Melayu boleh menjadikan beliau sebagai ikon bahawa orang bukan Melayu pun boleh cemerlang dalam penulisan atau sastera (Melayu)... mendiang kaya dengan bahasa Melayunya,” kata beliau yang menyifatkan mendiang sebagai rakan karibnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Bernama pada Majlis Pelancaran Karya Terakhir Mendiang Saravanan yang dirasmikan oleh Timbalan Presiden MIC dan Ahli Parlimen Tapah Datuk Seri Dr M.Saravanan di Penang Golf Club di sini semalam.

pic-2

Selain tiga karya tersebut, turut dilancarkan  Buku Kenangan Dr Sara, iaitu himpunan kenangan, kisah serta penghargaan rakan sejawatan, pelajar dan para karyawan yang pernah bekerjasama dengan mendiang.

Usaha Persatuan Karyawan Pulau Pinang itu bertujuan mengenang jasa sumbangan mendiang kepada dunia sastera tempatan.

M.Saravanan ketika berucap, berkata buku kenangan tersebut dihasilkan sebagai mengabadikan ketokohan dan perwatakan mendiang yang sentiasa membimbing serta memberi inspirasi kepada masyarakat.

Beliau juga berpandangan hanya tokoh pendidik dan penulis seperti mendiang sahaja dapat melahirkan modal insan bertaraf antarabangsa melalui penerbitan karya yang seterusnya berupaya membantu mewujudkan pemimpin tersohor negara pada masa depan.

Mendiang Saravanan memiliki Ijazah Sarjana Muda Bidang Pengajian Melayu dan Sejarah (1992), Diploma Pendidikan (1993), Ijazah Sarjana Pendidikan (1997) dan Doktor Falsafah Kesusasteraan Melayu (2010) daripada Universiti Malaya.

Anak jati Pulau Pinang itu merupakan seorang penulis yang bergiat aktif dalam aktiviti kesusasteraan dan menghasilkan pelbagai karya, termasuk puisi, cerpen dan novel selain aktif menggerakkan Persatuan Karyawan Pulau Pinang.

Beliau meninggal dunia pada 3 Nov 2023 akibat kegagalan jantung, meninggalkan balu Prof Madya Dr Manonmani Devi Annamalai dan dua orang anak - Sanjif Saravanan serta Ilakiya Saravanan.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy