JENAYAH & MAHKAMAH

Harimau Belang Mati Digilis, Pemandu Lori Dikesan

09/11/2024 07:25 PM

IPOH, 9 Nov (Bernama) -- Seekor harimau belang ditemukan mati dipercayai digilis lori di KM67.1 Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli berdekatan Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Titiwangsa, di sini hari ini.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak Yusoff Shariff berkata pihaknya menerima maklumat berkaitan kejadian kira-kira 9 pagi.

“Dipercayai ia seekor harimau dewasa, karkas hancur… jadi tidak dapat pastikan jantina, haiwan itu dilanggar lori sekitar awal pagi tadi,” katanya ketika dihubungi.

Terdahulu, tular video dikongsi pengguna media sosial memaparkan karkas haiwan itu hancur dipercayai dilanggar kenderaan.

Beliau berkata Perhilitan percaya ada anggota badan atau bahagian tertentu daripada karkas itu telah dicuri seperti kulit, tulang, taring, kuku dan misai.

“Hasil penelitian kami, banyak bahagian daripada harimau belang ini didapati hilang. Pihak kami dengan kerjasama polis akan mengumpul maklumat dalam usaha mengesan mereka yang mengambilnya (bahagian badan) tanpa kebenaran.

“Kepada mereka yang telah mengambil bahagian tertentu itu, sila pulangkan sebelum ditangkap dan dituduh dibawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010,” katanya.

Yusoff berkata pihaknya telah berjaya mengesan pemandu lori terbabit untuk siasatan lanjut manakala karkas harimau belang itu akan dihantar ke Institut Biodiversiti (IBD) Lanchang, Pahang bagi proses pengawetan.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy