PASARAN

Bursa Malaysia Kekal Dalam Zon Positif Pada Tengah Hari, Seiring Pasaran Serantau

22/11/2024 02:16 PM

KUALA LUMPUR, 22 Nov (Bernama) -- Bursa Malaysia kekal dalam wilayah positif dalam dagangan tengah hari Jumaat, dipacu oleh aktiviti belian berterusan dalam saham wajaran tinggi terpilih, terutama kaunter utiliti serta perkhidmatan dan produk industri.

Prestasi dicatatkan bursa itu juga seiring dengan kebanyakan pasaran serantau.

Tenaga Nasional meraih 22 sen kepada RM14.02, Petronas Chemicals meningkat 11 sen kepada RM4.94 manakala Press Metal Aluminium naik 6.0 sen kepada RM4.70.

Kesemua saham-saham itu menyumbang kepada kenaikan indeks komposit dengan gabungan sebanyak 4.51 mata.

Pada 12.30 tengah hari, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 2.91 mata kepada 1,591.59 daripada paras penutup 1,588.68 semalam.

Indeks penanda aras itu dibuka menokok 4.36 mata kepada 1,593.04 dan bergerak dalam julat 1,587.74 hingga 1,593.85 sepaanjang sesi dagangana pagi ini.

Bagaimanapun, sentimen pasaran secara meluas adalah negatif dengan kaunter rugi mengatasi untung iaitu 506 berbanding 354, manakala 464 kaunter lain kekal tidak berubah, 1,141 tidak diniagakan dan 23 lain digantung dagan

Jumlah dagangan sebanyak 1.47 bilion unit bernilai RM1.03 bilion.

Sementara itu, Malacca Securities Sdn Bhd berkata Wall Street mencatat prestasi semalaman yang lebih tinggi apabila kebimbangan awal terhadap prospek pendapatan Nvidia semakin pudar.

Ini susulan tindakan syarikat itu memberi jaminan kepada pelabur mengenai permintaan kukuh bagi rangkaian produk baharunya yang berpotensi melonjakkan prestasinya.

“Peningkatan konflik Ukraine-Rusia mungkin menjejaskan sentimen pasaran tetapi boleh mewujudkan peluang bagi saham-saham berkaitan emas dan minyak serta kaunter pengguna.

"Kami juga lebih memihak kepada industri penerbangan apabila musim cuti akhir tahun semakin hampir," katanya. 

Dalam pada itu, firma pembrokeran saham itu juga menyifatkan pengukuhan dolar Amerika Syarikat (AS) dan dasar tarif Presiden bakal dilantik, Donald Trump, sewajarnya menyuntik manfaat kepada sektor berorientasikan eksport seperti teknologi dan sarung tangan.

"Selain itu, sektor pembinaan, hartanah dan bahan binaan kekal disokong oleh pelaburan awal pusat-pusat data,” katanya.

Saham wajaran tinggi menyaksikan QL Resources meningkat 8.0 sen kepada RM4.85, IHH Healthcare naik 3.0 sen kepada RM7.20, Telekom Malaysia susut 6.0 sen kepada RM6.40, YTL Corporation berkurangan 9.0 sen kepada RM1.74 dan YTL Power International rugi 10 sen kepada RM2.88. 

Bagi saham aktif, Globetronics Technology menokok 4.0 sen kepada 55 sen, Tanco menambah 2.0 sen kepada RM1.58, MY E.G. naik setengah sen kepada 91.5 sen, Permaju Industries tidak berubah pada 4.0 sen dan Cape EMS susut 1.0 sen kepada 36 sen.

Di papan indeks pula, Indeks FBM Emas Shariah meningkat 51.62 mata kepada 12,122.51, Indeks FBM Emas menokok 24.87 mata kepada 12,112.48, Indeks FBMT 100 meraih 26.67 mata kepada 11,817.89, Indeks FBM 70 menambah 58.99 mata kepada 17,902.65 dan Indeks FBM ACE susut 30.12 mata kepada 5,167.82.

Dari segi sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meraih 1.49 mata kepada 173.50, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 10.32 mata kepada 19,041.45 manakala Indeks Perladangan susut 26.55 mata kepada 7,53 7,539.83 dan Indeks Tenaga turun 4.07 mata kepada 822.03.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy