GEORGE TOWN, 11 Nov (Bernama) -- Pameran Seni Dialog Estetika yang memaparkan 60 lukisan 12 artis Thailand di Balai Seni Lukis Pulau Pinang berjaya menarik minat masyarakat seni tempatan dan orang awam.
Artis yang mengambil bahagian dalam pameran yang akan berlangsung sehingga 24 November ini termasuk Chairat Sangthong, Man Chaima, Jaruwan Mueangkhwa dan Natsuree Techawiriyataweesin, masing-masing menampilkan hasil karya dengan tema tersendiri, antaranya, perjuangan peribadi, kesedihan dan kesepian menerusi gambaran bunga-bungaan serta kucing fantasi.
Artis Manee Meemak pula meraikan keindahan alam semula dengan gambaran kegembiraan serta misteri menerusi bakul dan tali-temali merah.
pic-2
Pameran yang dibuka secara percuma ini turut menonjolkan hasil tangan Muhammad Rojana-Udomsat yang terkenal dengan seni batik romantisnya, yang menghidupkan keindahan alam semula jadi di bawah cahaya rang bulan.
Artis Pornchai Chaima pula dengan seni figura menggambarkan keharmonian hidup keluarga, sementara Somsak Raksuwan dengan hasil koleksi antiknya.
Pameran ini juga menonjolkan pendekatan minimalis Rapeepat Phonrattanapaiboon, dengan hasil tangannya bermain dengan warna; Thammanoon Ruengsawats menonjol dengan hasil lukisan landskap bawah air, begitu hidup meraikan keindahan laut.
pic-3
Sementara itu, Thanistha Nunthapoin menghasilkan kreasi daripada pecahan seramik, simbol keindahan daripada kemusnahan dan Wanda Chaima meneroka tabiat manusia menerusi lukisan berbentuk kartun.
Pameran ini dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Pulau Pinang, Wong Hon Wai dan turut dihadiri Timbalan Konsul Jeneral Konsulat Jeneral Diraja Thailand, Suratchaya Palawongse.
Menurut Wong, seni mempunyai kuasa untuk berkomunikasi melebihi kata-kata dan berharap pameran berkenaan akan terus memperkasa hubungan antara Malaysia, terutamanya Pulau Pinang dan Thailand, sementara memupuk penghargaan untuk warisan seni dan bakat masing-masing.
“Saya berharap kolaborasi antara Balai Seni Lukis Pulau Pinang dan negara-negara jiran akan terus berkembang, memupuk persahabatan berpanjangan, kefahaman budaya dan saling menghargai. Mari kita terus memperkasa sejarah bersama dan memperkukuh hubungan menerusi seni, budaya dan kreativiti,” tambahnya.
pic-4
Sementara itu, Suratchaya berpandangan, seni sebagai alat berkuasa dalam hubungan diplomasi yang mampu memperkukuhkan hubungan budaya dan antarabangsa.
“Seni dan diplomasi, saling berkait dan memperkasakan. Saya sendiri amat meminati bidang seni kerana ia memberi ketenangan dan menjadikan saya lebih menghargai kepebagaian budaya dan perspektif.
“Saya amat berharap pameran ini bukan sahaja mampu menyampaikan wawasan unik artis-artis berkenaan tetapi juga memupuk kefahaman yang lebih akan budaya Thai dalam kalangan semua yang mengambil bahagian, untuk mendalami dunia menerusi lensa seni,” katanya.
-- BERNAMA