KUALA LUMPUR, 11 Nov (Bernama) -- Saffron & Spices, restoran hidangan pesona India memulakan operasinya di The Exchange TRX pada 7 November lepas dengan menawarkan kepada pelanggan pengalaman menikmati hidangan makanan unik, di tengah-tengah kota metropolitan Kuala Lumpur.
Restoran berkenaan adalah perniagaan baharu Spice International Group of Companies, diketuai Pengerusinya, Datuk Salva Palany, dan Thesan Salva sebagai Ketua Penasihat dan Pakar Strategi.
Thesan melahirkan rasa terujanya dengan pelancaran restoran itu, sambil menyatakan Saffron & Spices bukan setakat satu perniagaan tetapi menjadikan minat mendalam mereka dalam bidang restoran hidangan pesona satu realiti.
“Kami mahu mewujudkan satu ruang di mana setiap hidangan, setiap rasa dan setiap butir terperinci mencetuskan rasa keseronokan dan inti pati budaya India. Ianya lebih daripada makanan - ianya tentang pengalaman soul of India, ” katanya di majlis pelancaran besar-besaran yang turut dihadiri ramai tokoh terkemuka dari kalangan ahli perniagaan di samping duta, kerabat diraja dan pempengaruh.
Turut menjadi perhatian ialah hiasan dalaman restoran itu dengan kombinasi elemen budaya India dan gaya moden, mewujudkan suasana penuh damai dan bergaya.
Menu yang ditawarkan berasaskan klasik India dengan hidangan seperti Lamb Rogan Josh dan Butter Chicken Makhani, yang disediakan dengan menggunakan rempah ratus yang dikisar segar. Hidangan berkenaan mencerminkan wawasan Datuk Salva untuk membawa sajian asli India ke Malaysia.
Majlis perasmian restoran itu juga diserikan dengan persembahan oleh Kumpulan Penari Sutra, yang dikoreografikan oleh ikon kebudayaan Malaysia, Datuk Ramli Ibrahim.
Kumpulan penari itu mempersembahkan tarian tradisional Odissi, termasuk “Sthai” dan “Lalita Lavanga,” mempamerkan keindahan serta kelembutan tarian klasik India.
Ramli, penerima anugerah-anugerah Sangeet Natak Akademi dan Padma Shri dari India, berjaya menghasilkan persembahan yang memukau para tetamu.
-- BERNAMA