AM

JPKK Diminta Sebar Maklumat Kepada Komuniti Bendung Penipuan Kewangan

11/11/2024 04:55 PM

MELAKA, 11 Nov (Bernama) -- Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) di negeri ini diminta menjadi 'mata, telinga dan suara' kerajaan negeri dalam menyebarkan maklumat kepada komuniti setempat di kawasan masing-masing dalam usaha membendung ancaman penipuan kewangan.

Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan berkata kerajaan negeri menerusi Jawatankuasa Taskforce Bagi Menangani Judi Atas Talian, Internet Fraud dan Jenayah Siber telah mengadakan program bersama 339 pengerusi JPKK untuk meningkatkan kesedaran dan pengetahuan mengenai jenayah itu.

"Tujuan utama program ini adalah untuk meningkatkan kesedaran dan pengetahuan berhubung jenayah penipuan kewangan, terutamanya berkaitan jenis-jenis penipuan kewangan terkini dan modus operandi iaitu teknik penipuan yang diguna pakai sekarang.

"Dengan adanya program ini, mereka dapat memperoleh pengetahuan dan kemahiran untuk melindungi diri daripada menjadi mangsa penipuan kewangan dan dalam masa yang sama turut menyebarkan maklumat yang diperolehi kepada ahli keluarga, rakan-rakan dan komuniti setempat," katanya kepada pemberita di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh di sini hari ini.

Terdahulu, beliau merasmikan Program Kesedaran Jenayah Kewangan Bersama JPKK Negeri Melaka yang turut dihadiri Ketua Pejabat Bank Negara Malaysia Johor Bahru Rosnani Mahamad Zain.

Mengulas lanjut, Fairul Nizam berkata bagi membantu keberkesanan pelaksanaan aktiviti dan kempen kesedaran penipuan kewangan oleh JPKK, Jawatankuasa Taskforce itu juga mendapat sokongan dan persetujuan daripada Bank Simpanan Nasional (BSN) Melaka untuk menjadi 'titik sentuh' kepada ahli JPKK sekiranya memerlukan maklumat dan rujukan berhubung isu penipuan kewangan.

"Saya harap kerjasama dan kolaborasi ini dapat meningkatkan perkongsian dan menyebarkan maklumat dengan lebih efektif dalam memberi kesedaran kepada masyarakat bagi melindungi diri daripada menjadi mangsa penipuan kewangan," katanya.

Beliau berkata berdasarkan laporan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka bagi tempoh Januari hingga Oktober tahun ini, nilai kerugian melibatkan kes penipuan kewangan di Melaka adalah sebanyak RM307 juta, meningkat berbanding tempoh yang sama pada tahun lepas iaitu sebanyak RM25.16 juta.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy