Oleh Marfika Adnan Haris Fadzilah
BEIJING, 12 Nov (Bernama) -- Filem sulung arahan Datuk Tarmimi Siregar, ‘Denu’ dipilih sebagai karya pertama yang ditayangkan di China sempena "ASEAN Movie Night" semalam.
Walaupun belum ditayangkan di Malaysia, filem mengenai kesenian tradisional Mak Yong yang mengangkat kisah benar dari era prakemerdekaan di Kelantan itu berjaya mencuri perhatian Kedutaan Besar Malaysia di China.
Duta Besar Malaysia ke China, Datuk Norman Muhamad berkata, ‘Denu’ dipilih kerana ia berkait dengan budaya tradisional Malaysia, selain menggunakan teknologi terkini di China untuk meningkatkan kualiti filem berkenaan.
“Datuk Tarmimi Siregar datang ke Beijing untuk meningkatkan kualiti filem ini daripada 15 frame sesaat (fps) menjadi 45 fps dan menaikkan resolusinya kepada 8K. Kami memang merancang untuk mengadakan tayangan filem kita di sini, namun sukar mendapatkan tempat, dan tidak menyangka Datuk Tarmimi sudi memberi filemnya untuk ditayangkan di sini walaupun belum ditayangkan di Malaysia.
“Filem ini juga memenuhi kriteria yang kami inginkan. Ia memberi pendedahan kepada masyarakat di sini untuk memahami warisan negara kita. Filem ini juga menyampaikan cerita yang baik, memberikan gambaran keadaan Malaysia sebelum merdeka,” katanya kepada Bernama selepas tayangan filem tersebut sempena “ASEAN Movie Night” di ASEAN-China Centre di sini.
pic-2
Filem Denu, yang menjadikan Mak Yong sebagai jiwa dan meletakkan kesenian itu pada kedudukan tertinggi, memaparkan kisah suka duka, tawa dan dendam, jujur dan ‘menikam’ kehidupan di sekeliling anggota masyarakat tanpa meminggirkan aspek penting, iaitu kasih dan sayang.
Dengan kos RM1.8 juta, ia menampilkan pelakon Sabri Yunus, Nad Zainal, Hairi Safwan, Che Kem, Hakimi dan Ayie@Arjuna.
Sementara itu, pelajar sarjana muda jurusan Bahasa Melayu di Beijing Foreign Studies University, Ma Xiaoge atau Airis, 22, berkata dia sangat teruja dapat menonton filem yang menggunakan dialek Kelantan sepenuhnya.
“Walaupun agak sukar untuk memahami dialek tersebut, dengan bantuan sari kata, ia menjadi lebih mudah. Filem ini sangat baik kerana memberi kesedaran kepada kita supaya sentiasa mempertahankan dan menjaga warisan kita.
“Warisan tradisional seperti Mak Yong ini berada di kedudukan tersendiri dan tidak boleh dibeli dengan wang ringgit. Ia pengalaman baharu untuk saya, dan saya harap dapat meneroka lebih banyak lagi dialek-dialek yang ada di Malaysia,” katanya yang berasal dari Yunnan, China.
Pelajar Sarjana Pengurusan di Universiti Tsinghua, Fiona Willichita, 24, pula berkata, filem Denu berjaya memberi gambaran kepadanya bagaimana masyarakat Melayu di Kelantan mempertahankan budaya Mak Yong.
“Sebagai pelajar antarabangsa dari Indonesia, saya amat terharu dapat peluang berkongsi pengalaman dan budaya menerusi interaksi sesama manusia. Acara hari ini memberi inspirasi untuk kita menghargai budaya masing-masing dan menyantuni kepelbagaian budaya yang mengeratkan hubungan ASEAN-China, ” katanya.
-- BERNAMA