DUNIA

COP29: Mpoc Buktikan Kepimpinan Malaysia Dalam Minyak Sawit Mampan Kepada Dunia

16/11/2024 04:45 PM

Daripada Samantha Tan Chiew Tieng

BAKU (Azerbaijan), 16 Nov (Bernama) -- Penyertaan sulung Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) dalam COP29 membuktikan peranan utama Malaysia dalam pengeluaran minyak sawit mampan.

COP29 ialah Persidangan Pihak-pihak Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim (UNFCCC) ke-29 yang berlangsung dari 11 hingga 22 Nov, 2024 di sini.

MPOC, menganjurkan perbincangan bertajuk “Powering a Just Transition: Sustainable Malaysian Palm Oil" (Memperkasakan Peralihan Adil: Minyak Sawit Malaysia yang Mampan) di Pavilion Malaysia, membawa suara industri minyak sawit negara ke peringkat dunia.

Komitmen Malaysia dalam menghasilkan Minyak Sawit Mampan Diperakui (CSPO) dan menekankan peranannya dalam memenuhi Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) turur diketengahkan.

Ketua Pegawai Eksekutif MPOC Belvinder Sron berkata kehadiran pihaknya dalam COP29 membuktikan kedudukan Malaysia sebagai pelopor pengeluaran minyak sawit mampan di samping menunjukkan lagi pendekatan proaktif negara terhadap amalan mampan.

“Melalui perkongsian strategik dan dedikasi teguh terhadap amalan bertanggungjawab, kami menyasar untuk menetapkan penanda aras global bagi penjagaan alam sekitar dan daya tahan ekonomi.

“Kita menunjukkan kepada dunia bahawa minyak sawit mampan boleh memenuhi keperluan ekologi dan masyarakat,” katanya.

Belvinder berkata usaha ini mencerminkan hasrat Malaysia untuk menjajarkan amalan pertaniannya dengan matlamat kemampanan ekologi dan sosial.

Beliau berkata MPOC, dengan kerjasama peserta utama industri seperti SD Guthrie, Felda Global Ventures dan Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF), menekankan kepimpinan Malaysia dalam pertanian pintar iklim.

Penyertaaan MPOC bersama-sama pemimpin antarabangsa dan penggubal dasar di COP29 menunjukkan minyak sawit mampan boleh menjadi penyumbang penting kepada jaminan makanan dan kelestarian alam sekitar global, sekali gus mengorak laluan ke arah masa depan yang berdaya tahan.

Tumpuan utama penyertaan MPOC adalah memajukan agenda Peralihan Adil.

Agenda itu bertujuan memastikan peralihan Malaysia ke arah kemampanan meliputi pertumbuhan saksama dan jaminan pekerjaan untuk semua pihak berkepentingan, terutama kumpulan pekebun kecil dan masyarakat luar bandar yang bergantung kepada industri itu.

MPOC juga mengumumkan kajian Peralihan Sifar Bersih dengan kerjasama Swinburne University, menyediakan pelan hala tuju yang komprehensif untuk industri minyak sawit Malaysia mencapai pelepasan sifar bersih.

Kajian penting itu melaraskan industri dengan matlamat iklim global dan menekankan komitmennya terhadap amalan bertanggungjawab yang mengimbangi pertumbuhan ekonomi dengan pemeliharaan alam sekitar.

Sementara itu, Presiden Rangkaian Penyelesaian Pembangunan Lestari PBB (UNSDSN) Prof Jeffrey Sachs menekankan peranan penting pembangunan ekonomi mampan di selatan global dan menekankan sumbangan Malaysia kepada tindakan iklim inklusif.

Ahli Ekonomi dan penyokong kelestarian itu menyuarakan sokongan dan keyakinan yang tinggi terhadap kepengerusian ASEAN oleh Malaysia tahun depan dan peranan negara dalam memajukan pembangunan mampan.

“Saya amat teruja dengan kepimpinan Malaysia sebagai pengerusi ASEAN tahun depan. Malaysia secara konsisten menunjukkan komitmen yang kukuh terhadap pembangunan mampan, menjadikannya sebagai pemimpin yang hebat di rantau itu.

“Berasaskan Malaysia sebagai pengerusi ASEAN tahun depan, saya yakin ASEAN boleh membuat usaha besar dalam transformasi tenaga, pemuliharaan biodiversiti, dan pembangunan ekonomi yang meliputi semua tonggak utama kemampanan,” katanya ketika ditemui Bernama di Pavilion Malaysia pada acara COP29.

Sachs berkata setiap bahagian di dunia mesti beralih kepada sistem tenaga bersih untuk merealisasikan matlamat karbon bersih sifar, dan Malaysia aktif menyumbang kepada usaha itu.

“ASEAN, menerusi kerjasama, boleh memanfaatkan pelbagai sumber tenaga boleh baharu seperti kuasa hidro, angin, solar, lautan, dan geoterma. Penyepaduan teknologi ini akan mempercepat transformasi tenaga mampan di rantau ini,” katanya.

Tambahan pula, China melalui Inisiatif “Belt and Road” boleh menjadi rakan kerjasama yang berharga dalam usaha itu seterusnya memberikan peluang besar untuk kerjasama antara ASEAN dan China.

Selain itu Malaysia pula secara rasmi telah menjadi negara rakan BRICS, yang membuka pintu kepada kerjasama serantau dan global yang lebih luas.

BRICS adalah pakatan antara kerajaan yang merangkumi Brazil, Rusia, India, China, Afrika Selatan, Iran, Mesir, Ethiopia dan Emiriah Arab Bersatu.

“Rantau Asia Timur termasuk Asia Timur Laut dan Asia Tenggara merupakan antara kawasan paling dinamik di dunia. Dengan memanfaatkan keupayaan teknologi dan biodiversiti, kita boleh menyatukan semua bahagian untuk mencapai pertumbuhan mampan dan transformasi tenaga,” katanya.

-- BERNAMA

 

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy