AM

CAAP Rangkumi Langkah Komprehensif Pengurusan Udara Bersih Bakal Dilaksana - JAS

16/11/2024 08:03 PM

Daripada Samantha Tan Chiew Tieng

BAKU (Azerbaijan), 16 Nov (Bernama) -- Pelan Tindakan Udara Bersih Kebangsaan (CAAP) yang ditambah baik merangkumi langkah komprehensif untuk pengurusan, pencegahan dan kawalan udara bersih dijangka dilaksanakan tahun hadapan.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Alam Sekitar Dr Norhazni Mat Sari berkata JAS kini dalam fasa terakhir untuk memuktamadkan draf pelan itu sebelum dibawa ke perhatian Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad pada Januari depan.

"Pelan ini akan memberi panduan kepada semua pihak berkepentingan untuk memainkan peranan masing-masing ke arah langit biru dan persekitaran yang lebih sihat," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau ditemui di Pavilion Malaysia bersempena Persidangan Pihak-Pihak ke-29 (COP29) Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim (UNFCCC), yang sedang berlangsung dari 11 hingga 22 Nov.

Norhazni berkata CAAP yang bakal dilaksanakan itu selari dengan tema COP29 iaitu "Solidariti Demi Dunia yang Lebih Hijau" menekan kesungguhan politik dalam menangani isu perubahan iklim secara menyeluruh.

Beliau berkata usaha itu adalah satu lagi langkah proaktif diambil kerajaan menuju pembangunan lestari sekali gus mencerminkan peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN pada 2025 dalam memacu isu perubahan selain mengurangkan pencemaran.

Selain itu, beliau berkata kerjasama bersepadu dengan ASEAN dan komuniti antarabangsa penting bagi memastikan Malaysia dan rantau ini mencapai sasaran pelepasan karbon sifar menjelang 2050 dengan sokongan pelaburan dan teknologi hijau yang lebih mampan untuk mengurangkan impak pencemaran.

“Kerajaan melalui JAS telah mengambil pelbagai langkah mitigasi serta adaptasi perubahan iklim yang menjadi perhatian mendesak di peringkat global demi kesejahteraan rakyat dan kemajuan negara yang mampan.

“Antara inisiatif utama JAS adalah penguatkuasaan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang merangkumi pelbagai aspek termasuk kawalan pencemaran udara, air, bunyi dan sisa dengan matlamat meningkatkan kualiti alam sekitar,” katanya.

Selain itu, beliau berkata larangan pembakaran terbuka di bawah Seksyen 29A Akta Kualiti Alam Sekeliling bertujuan mencegah jerebu tempatan dan operasi penguatkuasaan menunjukkan keberkesanan undang-undang apabila kadar kompaun semakin berkurangan.

Di peringkat antarabangsa, Norhazni berkata Malaysia komited melaksanakan Protokol Montreal yang menghapuskan penggunaan bahan pemusnah ozon sekali gus mengurangkan pemanasan tinggi.

“Kita juga menyokong Konvensyen Basel yang mengawal pergerakan bahan buangan terjadual merentasi sempadan bagi membendung kemasukan sisa toksik dari negara maju ke negara membangun,” katanya. 

COP29, persidangan tahunan terbesar dalam  agenda perubahan iklim yang berlangsung di ibu negara Azerbaijan itu menjadi tumpuan dunia dan disertai kira-kira 50,000 pegawai kerajaan, pembuat dasar serta pelabur.

COP kali ini digelar “Climate Finance COP” memandangkan sasaran utama persidangan adalah mencapai persetujuan untuk pembiayaan tahunan bagi membantu negara sedang membangun menangani kos dalam usaha menangani perubahan iklim.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy