JENAYAH & MAHKAMAH

Dua Pekerja Sabah Electricity Cedera Akibat Provokasi Di Lahad Datu

18/11/2024 10:43 PM

LAHAD DATU, 18 Nov (Bernama) -- Sabah Electricity Sdn Bhd hari ini membuat laporan polis selepas berlaku provokasi serta gangguan ke atas dua pekerja yang melakukan tugasan pemotongan bekalan elektrik di Kampung Sapagaya di sini. 

Syarikat itu dalam satu kenyataaan memaklumkan dua pekerja terlibat ke kampung berkenaan pada 11.30 pagi bagi melakukan pemotongan bekalan elektrik di sebuah kediaman yang mempunyai tunggakan bil. 

"Namun, ketika dua pekerja itu yang menaiki kenderaan pacuan empat roda milik Sabah Electricity sedang parkir di tepi jalan bagi memeriksa senarai arahan pemotongan, mereka dihalang sebuah kenderaan pacuan empat roda berwarna hitam dan seorang lelaki dalam keadaan marah cuba membuka pintu kenderaan dinaiki pekerja terbabit .  

"Ekoran panik, pekerja itu segera beredar tetapi dikejar lelaki berkenaan sehingga menyebabkan situasi menjadi tidak terkawal, kenderaan yang dinaiki pekerja Sabah Electricity hilang kawalan dan terbabas di bahu jalan lalu terjunam ke kawasan kebun kelapa sawit di Jalan Silam," katanya.

Kemalangan itu menyebabkan kedua-dua pekerja berkenaan cedera ringan.

Menurut kenyataan itu, Sabah Electricity tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang ancaman yang membabitkan keselamatan pekerja ketika bertugas dan tindakan sewajarnya akan diambil.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy