EKONOMI

Kilang Baharu Keyto MY Tingkatkan Industri Teknologi Tinggi Malaysia - MIDA

19/11/2024 12:24 PM

KUALA LUMPUR, 19 Nov (Bernama) -- Kemudahan pembuatan bendalir baharu Keyto MY Sdn Bhd di Batu Kawan, Pulau Pinang bersedia untuk meningkatkan kemampuan perindustrian Malaysia dan mempelbagaikan sektor pembuatan berteknologi tinggi.

Menurut Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) kemudahan itu diunjur menjana perolehan jualan sebanyak RM65 juta dalam tempoh tiga tahun akan datang, mencerminkan potensi pertumbuhan teguh dalam sektor itu.

Ketua Pegawai Eksekutif MIDA Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid berkata pelancaran kemudahan Keyto MY itu adalah pencapaian penting bagi ekonomi Malaysia dan sejajar dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030, yang berhasrat memacu pertumbuhan industri dan kemajuan teknologi.

“Dengan memfokuskan kepada komponen berketepatan tinggi dan teknologi bendalir, pelaburan ini bukan sahaja akan menarik pelaburan asing malah mendorong inovasi, mewujudkan peluang pekerjaan berkualiti tinggi kepada rakyat Malaysia, dan memperkukuh kedudukan kita dalam rantaian nilai global.

“MIDA kekal komited untuk menyokong syarikat seperti Keyto MY untuk menguatkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju global dalam pembuatan teknologi bendalir,” katanya dalam kenyataan bersama.

Menurut kenyataan itu, kemudahan berkeluasan 38,104.24 kaki persegi itu akan menghasilkan sistem pengurusan bendalir dan komponen ketepatan yang kritikal bagi peranti perubatan, instrumen sains hayat dan pemantauan alam sekitar.

Fasa pertama akan menumpukan kepada penghasilan penyelesaian pengurusan bendalir, termasuk pam berprestasi tinggi, injap dan sistem bendalir.

"Langkah ini meletakkan Keyto MY sebagai penggiat utama dalam rantaian bekalan teknologi bendalir di rantau ini, memenuhi peningkatan permintaan dalam pelbagai industri," menurut kenyataan itu.

Kilang itu akan menggabungkan teknologi inovatif untuk memaksimumkan kecekapan pengeluaran, mendorong kawalan kualiti yang teliti, dan memastikan amalan pembuatan yang mampan.

Keyto MY adalah anak syarikat Shenzhen Keyto Fluid Technology Co Ltd.

Ia memanfaatkan kepakaran yang luas, pengetahuan industri, dan perspektif global bagi memacu kejayaan perniagaan tempatan dan antarabangsa.

-- BERNAMA 

 

 

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy