EKONOMI

Pengerusi LSH Terima Anugerah Tokoh Terkemuka Di MCIEA 2024

20/11/2024 10:15 AM

Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid

KUALA LUMPUR, 20 Nov (Bernama) – Pengerusi Lim Seong Hai (LSH) Capital Bhd Tan Sri Lim Keng Cheng diiktiraf sebagai penerima Anugerah Tokoh Terkemuka (Prominent Player Award) di Anugerah Kecemerlangan Industri Pembinaan Malaysia (MCIEA) 2024 yang mengiktiraf sumbangan transformatif dan kepimpinan berwawasan beliau dalam industri pembinaan.

Anugerah itu diberikan kepada individu yang paling layak yang memiliki kualiti dan sifat-sifat tokoh terkemuka dalam industri pembinaan serta memberikan sumbangan besar kepada pertumbuhan dan pembangunan sektor pembinaan di Malaysia.

Sambil melahirkan rasa syukur, Lim mengucapkan terima kasih kepada Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) di atas anugerah berkenaan, yang beliau sifatkan sebagai bukti perjalanan empat dekad beliau dalam sektor itu.

“Saya telah menyaksikan sendiri evolusi industri pembinaan dan berbangga kerana telah menyelia projek bernilai lebih RM20 bilion termasuk inisiatif perkongsian awam-swasta (PPP) yang penting dengan kerajaan,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Lim merupakan perintis konsep ‘reka bentuk dan bina’ di Malaysia, menekankan keperluan untuk mengembangkan model PPP yang merangkumi keseluruhan rantaian nilai, termasuk daya maju projek dan pembiayaan.

Dasar beliau untuk piawaian dan amalan industri yang lebih baik, disertai dengan fokus yang kuat terhadap kesejahteraan komuniti dan keselamatan, telah meninggalkan kesan yang mendalam dalam sektor ini.

Salah satu sumbangan penting beliau ialah memperkenalkan Sistem Pendakap Rasuk Sementara, kini diterima pakai secara meluas untuk projek-projek Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi memastikan keselamatan dan kecekapan dalam kerja-kerja pelancaran rasuk.

 

Pencetus Penyelesaian Perumahan

Lim turut menekankan kejayaan projek LSH33, yang menyelaraskan tiga elemen perumahan — unit terbuka, unit mampu milik dan reka bentuk berpaksikan komuniti.

Menerapkan pengalamannya dan Strategi Lautan Biru, projek itu menggabungkan prinsip 3R (mengurangkan, mengguna semula dan kitar semula) dan menawarkan penjimatan kos yang ketara kepada pembeli melalui diskaun dan rebat.

"LSH33 adalah kemuncak kepada pengalaman saya sebagai kontraktor, membuktikan inovasi dan kecekapan boleh menghasilkan rumah mampu milik tanpa mengorbankan kualiti," kata Lim sambil menyatakan tiada perbezaan yang buruk antara unit terbuka dan mampu milik.

Projek berkenaan, yang merangkumi rumah berharga serendah RM298,000 di bawah inisiatif perumahan kerajaan, mencatatkan kadar jualan 100 peratus walaupun berdepan cabaran yang ditimbulkan oleh pandemik ketika itu.

 

Memberi Inspirasi Kepada Generasi Akan Datang

Lim berharap perjalanannya akan memberi inspirasi kepada golongan profesional muda untuk mengejar kerjaya dalam industri pembinaan, satu industri yang beliau percaya sedang bersedia untuk mengalami perubahan melalui inovasi, kecerdasan buatan dan robotik.

“Tiada pengganti untuk kerja keras dan ketekunan... landskap industri pembinaan yang sentiasa berubah memerlukan kita untuk terus berkembang atau berisiko ditinggalkan,” katanya.

Lim juga menggalakkan pembuat keputusan mengutamakan kelulusan dan kerjasama yang tepat pada masanya untuk meningkatkan penyampaian dan keselamatan projek, sambil menekankan kepentingan membina infrastruktur yang memberi manfaat kepada masyarakat.

Mengimbas kembali legasinya, Lim berkata, “Sebagai seorang pembina, saya telah merealisasikan impian — bukan hanya impian saya sendiri tetapi juga impian orang lain. Anugerah ini adalah penghormatan kepada mendiang bapa saya, seorang kontraktor Kelas D JKR, yang perjalanannya telah saya teruskan dengan penuh bangga.”

– BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy