PUTRAJAYA, 28 Nov (Bernama) -- Syarikat pengendali pawagam Golden Screen Cinemas (GSC) hari ini mengumumkan perkongsian dengan Applecrumby, jenama antarabangsa kesihatan dan kesejahteraan bayi untuk menambah keseronokan keluarga yang menonton di pawagam dengan menitikberatkan kemudahan dan keselamatan.
Ketua Pegawai Pemasaran GSC, Shirley Low berkata, fokus kolaborasi untuk tempoh setahun itu adalah untuk mewujudkan suasana selamat dan menyeronokkan bagi keluarga bersukaria di dewan GSC Play dan kawasan permainan, di samping memaparkan produk Applecrumby.
Menurut beliau, bilik untuk menyusu bayi dan bilik bayi di empat lokasi GSC Play kini disertakan dengan produk Applecrumby seperti botol dan alat pencuci serta tisu basah bayi premium untuk kegunaan ibu bapa setiap kali mereka menggunakan kemudahan berkenaan.
pic-2
"Di GSC, menjadi matlamat kami untuk mewujudkan ruang yang selesa serta selamat untuk keluarga. Kami faham memang mencabar untuk membawa anak-anak kecil ke tempat awam, jadi kami mengambil langkah yang lebih untuk meningkatkan kemudahan yang disediakan bagi keselesaan ibu bapa, seperti barangan keperluan Applecrumby.
“Perkongsian kami dengan Applecrumby mencerminkan komitmen kami untuk memberi keselesaan serta keselamatan, sekali gus menjadikan keluarga seronok dan bebas tekanan. Secara bersama, kami akan menyediakan lebih banyak kemudahan untuk keluarga,” katanya kepada media selepas pelancaran perkongsian itu hari ini.
Low berkata, perkongsian itu memperkenalkan “minisodes” di skrin sebanyak dua kali, berdurasi 60 saat, memaparkan maskot GSC Play, Jesse and Pop Pop, di samping watak Applecrumby - Roger Moor, Lola Bunn, dan Drako Greene.
pic-3
“Minisode pertama memperkenalkan bilik menyusu dan bilik bayi yang baharu dihias. Minisode ini akan ditayangkan di lokasi GSC di seluruh negara bermula penghujung November ini.
“Minisode kedua pula mengenengahkan tisu basah bayi premium Applecrumby, yang direka khas untuk keselamatan kanak-kanak. Diperbuat daripada bahan semula jadi dan bebas kimia berbahaya, tisu basah ini sesuai untuk kegunaan harian. Kanak-kanak boleh bermain dengan gembira di samping maskot-maskot di GSC PlayPark. Minisode ini dijangka ditayangkan di skrin mulai Mac 2025,” katanya.
Sebagai langkah inovatif, GSC dan Applecrumby juga melancarkan lampin rekaan eksklusif dengan gambar maskot GSC Play, Jesse & Friends, di samping watak-watak terkenal Applecrumby.
pic-4
Sementara itum Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Bersama Applecrumby Sean Tan, berkata, kolaborasi berkenaan merupakan pencapaian penting untuk Applecrumby kerana ia membolehkan jenama itu memperkenalkan barangan keperluan bayi dalam suasana kekeluargaan yang menyeronokkan.
“Selepas berbulan-bulan merancang dengan teliti, kami berasa teruja untuk mengumumkan perkongsian dengan GSC. Dengan kombinasi kemahiran kami dalam penjagaan bayi dan magis pawagam, kami berharap untuk mewujudkan pengalaman indah keluarga di seluruh Malaysia, ” katanya.
Sebagai sebahagian daripada kolaborasi itu, para peserta berpeluang membawa pulang koleksi barangan GSC dan Applecrumby bernilai RM8,528, iaitu lampin rekaan eksklusif, barangan keperluan Applecrumby dan barangan eksklusif Jesse & Friends. Peserta perlu menyertai Peraduan GSC x Applecrumby Tower, yang berlangsung dari 15 Disember 2024 hingga 25 Januari 2025.
-- BERNAMA