KUALA LUMPUR, 28 Nov (Bernama) -- Skuad Harimau Malaya naik satu anak tangga ke kedudukan ke-132 dunia, berdasarkan kepada kemas kini terkini ranking dunia FIFA, hari ini.
Mengikut laman sesawang www.fifa.com, anak buah Pau Marti Vicente mengumpulkan 1117.05 mata untuk naik daripada kedudukan ke-133 bulan lepas, sebaris bersama pasukan Cyprus (130), Malawi (131), Nicaragua (133) dan Kuwait (134).
Kedudukan terkini itu disumbangkan oleh kejayaan pasukan negara mengalahkan Laos 3-1 pada 14 Nov, dan seri 1-1 dengan India pada 18 Nov.
Namun kedudukan itu menyaksikan Malaysia masih ketinggalan berbanding negara Asia Tenggara lain seperti Thailand (97), Vietnem (116) dan Indonesia (125).
Lima pasukan terbaik Zon Asia ialah Jepun (15), Iran (18), Korea Selatan (23), Australia (26) dan Qatar (46).
Argentina selaku pemenang Piala Dunia 2022, kekal unggul di tangga teratas, diikuti Perancis, Sepanyol, England dan Brazil.
-- BERNAMA