Oleh Engku Shariful Azni Engku Ab Latif
KUALA LUMPUR, 30 Nov (Bernama) -- Pasaran getah tempatan dijangka diniagakan dalam jajaran kecil dengan cenderung untuk meningkat lebih tinggi minggu depan disebabkan situasi bekalan yang terhad akibat gangguan cuaca, kata pakar industri Denis Low.
Beliau berkata aktiviti menoreh dan memungut getah mungkin terbantut disebabkan hujan berterusan yang boleh mencetuskan kekurangan bekalan.
"Bekalan tersedia yang terhad mungkin menyokong lagi momentum kenaikan harga getah asli," katanya kepada Bernama.
Sementara itu, Low berkata kembalinya Donald Trump ke Rumah Putih telah membuatkan jutaan pengeksport China berada dalam tekanan.
Ketika berkempen, Trump telah mengemukakan idea untuk mengenakan tarif tambahan sebanyak 60 peratus atau lebih ke atas barangan China yang dijual ke Amerika Syarikat (AS).
“Sehubungan itu, ia mungkin mendorong pembeli lain untuk meningkatkan import getah bagi menggalakkan eksport mereka sebagai persediaan untuk tarif yang lebih tinggi pada masa hadapan,” katanya.
Low berkata risiko geopolitik akan terus menjadi sumber ketidaktentuan bagi ekonomi global dan boleh menyebabkan turun naik harga minyak dan gas.
“Dolar AS kekal tidak menentu disebabkan penyusutan dolar yang berterusan, namun ia dijangka kekal dalam julat tertentu dan masih tinggi berbanding mata wang lain,” katanya.
Sementara itu, Pertubuhan Pengilang Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA) berkata pasaran getah berkemungkinan kekal tidak menentu dan mengikut prestasi pasaran hadapan getah serantau.
Persatuan itu berkata permintaan China yang bertambah baik, perkembangan geopolitik dan penunjuk ekonomi global juga mungkin menyokong trend harga yang tinggi dan menetapkan hala tuju pasaran pada minggu akan datang.
“Banjir di Thailand dan beberapa bahagian di Malaysia dijangka mengganggu pengeluaran getah asli.
"Ditambah dengan data-data ekonomi China yang bertambah baik dan langkah-langkah rangsangan fiskal yang berpotensi boleh meningkatkan lagi permintaan untuk getah asli," katanya.
Pada asas Jumaat ke Jumaat, harga rujukan Lembaga Getah Malaysia untuk Getah Mutu Malaysia 20 (GMM 20) meningkat 34.5 sen kepada 879 sen sekilogram, manakala susu getah pukal turun lapan sen kepada 673.5 sen sekilogram.
Pada 5 petang semalam, harga GMM 20 berada pada 875.5 sen sekilogram dan susu getah pukal pada 672 sen sekilogram.
-- BERNAMA