IPOH, 2 Dis (Bernama) -- Kerajaan Perak sedang mengadakan siri perbincangan dengan pihak berkepentingan untuk menggunakan teknologi satelit bagi menyelesaikan masalah jurang digital di kawasan pedalaman, termasuk di kawasan hutan lipur.
Exco Komunikasi, Multimedia dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Perak Mohd Azlan Helmi berkata pihaknya menjangkakan satu atau dua kawasan pedalaman di Perak dapat memanfaatkan teknologi tersebut dalam masa terdekat.
"Kita sedar dalam usaha untuk merapatkan jurang digital di kawasan pedalaman, seperti di hutan lipur, akan terdapat kekangan untuk menebang pokok bagi membina menara telekomunikasi.
"Insya-Allah, tahun depan kita akan dapat hasilnya, dan kami jangkakan sekurang-kurangnya ada ‘proof of concept’ untuk penggunaan teknologi satelit di satu atau dua kawasan pedalaman," katanya ketika sesi soal jawab di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Berhanudin Ahmad (PN- Manong) yang mahu tahu adalah kerajaan negeri merancang menggunakan teknologi satelit sebagai alternatif bagi merapatkan jurang digital di negeri Perak.
Mengenai strategi yang akan dan telah disusun oleh kerajaan negeri untuk memodenkan komuniti kampung di Perak, Azlan berkata inisiatif Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) yang dibangunkan termasuk di kawasan luar bandar, merupakan satu daripada strategi penting bagi tujuan tersebut.
“Untuk memodenkan komuniti kampung dan memajukan industri digital di negara ini, NADI menyediakan latihan mengenai penggunaan teknologi maklumat, seperti cara menggunakan peranti pintar, mengakses maklumat melalui internet, dan penggunaan aplikasi untuk perniagaan atau pendidikan.
“Latihan ini boleh meningkatkan kemahiran digital untuk komuniti di kampung dengan memanfaatkan platform e-dagang, serta melibatkan komuniti dalam aktiviti ekonomi digital,” katanya.
Beliau berkata melalui Digital Perak Corporation Holdings sebagai satu daripada agensi sokongan, mereka juga terlibat dalam menyokong inisiatif desa digital yang dirancang dalam Pelan Tindakan Ekonomi Digital Negeri Perak 2030 untuk meningkatkan persekitaran internet bagi penduduk luar bandar dan terpencil.
-- BERNAMA