ANKARA, 3 Dis (Bernama-AA) -- Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Selasa memberi amaran bahawa kemarau global menyumbang kepada kerugian melebihi US$300 bilion setiap tahun, justeru menyeru mempertingkatkan pelaburan dalam penyelesaian berasaskan alam semula jadi.
Menurut Agensi Anadolu, amaran ini dikeluarkan dalam satu laporan yang dilancarkan pada Persidangan Pihak-Pihak Ke-16 (COP16) bagi Konvensyen PBB untuk Memerangi Kemarau (UNCCD) di Riyadh, Arab Saudi.
Laporan itu mendedahkan bahawa dunia memerlukan kira-kira US$1 bilion setiap hari untuk memerangi degradasi tanah dan kemarau antara 2025 hingga 2030.
Laporan itu juga memberi amaran bahawa kemarau, yang sebahagian besarnya berpunca daripada "kerosakan alam sekitar akibat aktiviti manusia," akan memberi kesan kepada tiga daripada empat orang di seluruh dunia, iaitu 75 peratus daripada populasi dunia menjelang 2025.
"Untuk melindungi nyawa dan sumber pendapatan, kita mesti meningkatkan pelaburan dalam pemulihan tanah secara signifikan," kata Setiausaha Eksekutif UNCCD, Ibrahim Thiaw.
Laporan itu mencadangkan bahawa penyelesaian terhadap kemarau boleh dicapai melalui pelaburan dalam penyelesaian berasaskan alam semula jadi, termasuk penanaman semula hutan, pengurusan padang rumput, serta pemulihan dan pemeliharaan kawasan tadahan air.
-- BERNAMA-AA